Pas gerak kempen tarik ahli baharu secara dalam talian

Gambar kecil: Andansura Rabu
Gambar kecil: Andansura Rabu
A
A
A

KUANTAN - Pas Kawasan Indera Mahkota mengatur gerak kerja normal baharu secara dalam talian dalam usaha menarik sokongan ahli baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, usaha melalui kempen 'Pas Pilihanku-Jom Sertai Pas' yang digerakkan bermula minggu lalu memanfaatkan jaringan platform media sosial termasuk melalui aplikasi Whatsapp.

Menurutnya, kempen itu sebagai salah satu usaha memperkemaskan akar umbi dan memperkuatkan Pas Indera Mahkota dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Melalui kempen selama sebulan ini, kita gerakkan ahli untuk menyantuni orang ramai termasuk dalam kalangan keluarga, jiran, rakan dan sebagainya melalui aplikasi media sosial untuk menarik sokongan mereka bersama Pas.

"Jika sebelum ini kita adakan kempen secara bersemuka dengan membuka kaunter dan sebagainya namun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, kita menggunakan platform media sosial bagi memastikan gerak kerja sentiasa berjalan," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang merangkap Yang Dipertua Pas Indera Mahkota berkata, gerak kerja jentera perlu diteruskan dalam usaha menambah ahli di semua peringkat.

"Kempen ini menyasarkan 1,000 ahli baharu dalam tempoh sebulan di mana setiap cawangan Pas Kawasan Indera Mahkota ini perlu mencari dan mendaftar 31 ahli baharu atau lebih.

"Bagi cawangan atau ahli yang berjaya mencapai sasaran, kita sediakan insentif sebagai tanda penghargaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semua pihak sama ada pimpinan cawangan, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak perlu memainkan peranan masing-masing bagi mencari dan mendaftarkan seramai mungkin ahli baharu.

"Pada masa sama, mereka juga tidak boleh menjadikan PKP 3.0 ketika ini sebagai halangan untuk bergerak sebaliknya memanfaatkan jaringan media sosial sebagai alat perhubungan untuk mendekati dan bertanya khabar masyarakat sebagai antara langkah gerak kerja," katanya.