JKM cari waris bayi ditinggal ibu

JKM Daerah Muallim mengesan waris seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di Hospital Slim River oleh ibu kandungnya beberapa hari selepas dilahirkan April lepas.
JKM Daerah Muallim mengesan waris seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di Hospital Slim River oleh ibu kandungnya beberapa hari selepas dilahirkan April lepas.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Muallim mengesan waris seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di Hospital Slim River oleh ibu kandungnya beberapa hari selepas dilahirkan April lepas.

Dalam satu kenyataan JKM memaklumkan, pihaknya telah berusaha mengesan ibu bayi terbabit iaitu seorang mualaf berusia 22 tahun berdasarkan alamat terakhir di Kampung Belakang Masjid Lama Hulu Bernam, namun gagal ditemui.

"Bayi itu yang kini berusia dua bulan telah dijangkiti sakit kuning beberapa hari selepas dilahirkan dan diletakkan di bawah pemerhatian di Wad Kanak-kanak Hospital Slim River.

"Ketika kejadian, ibu bayi itu telah mendapat kebenaran hospital untuk keluar sebentar bagi urusan rasmi peribadi di Pekan Slim River, namun tidak pulang semula ke wad yang menempatkan bayinya," katanya.

Sehubungan itu, Hospital Slim River telah menghubungi JKM untuk membantu memudahkan urusan dan tindakan seterusnya.

Katanya, JKM Daerah Muallim memberi tempoh sebulan untuk ibu dan bapa bayi itu hadir ke Pejabat JKM untuk membantu mencari penyelesaian masalah itu seperti peruntukan Perintah Seksyen 19 Akta Kanak-kanak 2001 Pindaan 2016 Pelindung Kanak-kanak.

"Jika sesiapa ada maklumat mengenai perkara berkenaan boleh menghubungi Pegawai Pelindung JKM Daerah Muallim, Wan Nurhaliza Wan Ghazali di talian 05-4529 664," katanya.

Artikel Berkaitan: