Ekonomi punca penduduk pedalaman terlibat aktiviti penyeludupan

Pelbagai jenis jenama rokok dipercayai diseludup dari negara jiran. (Gambar kecil:Akhbar Satar)
Pelbagai jenis jenama rokok dipercayai diseludup dari negara jiran. (Gambar kecil:Akhbar Satar)
A
A
A

KUALA LUMPUR – Faktor kesulitan ekonomi dan pemujukan agresif sindiket jenayah mengakibatkan semakin ramai penduduk di kawasan pedalaman di seluruh Malaysia terlibat dalam aktiviti penyeludupan, dedah Datuk Seri Akhbar Satar.

Pengasas dan Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE)-Cawangan Malaysia itu berkata, pandemik Covid-19 dan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi impak terhadap kehidupan penduduk di kawasan pedalaman.

Beliau berkata, mengambil kesempatan daripada situasi tersebut, sindiket jenayah memujuk dan mempengaruhi penduduk kampung supaya menyertai rantaian logistik penyeludupan mereka untuk menambahkan pendapatan.

"Ada antara penjenayah ini berlagak seperti dermawan, menyumbang banyak untuk mengubah suai bangunan keagamaan atau membina kemudahan awam demi ‘untuk memenangi jiwa raga’ penduduk.

"Bukan sesuatu yang mengejutkan disebabkan ini, nelayan dan petani memilih menyeludup rokok daripada kerja azali mereka,” kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.

Pendedahan beliau itu merujuk kepada beberapa siri laporan yang menunjukkan peningkatan besar aktiviti penyeludupan rokok yang berlaku dalam kalangan penduduk di pedalaman di sepanjang pesisir pantai Malaysia yang luas dan tidak berpenghuni.

Satu kes baru-baru ini, membabitkan rampasan rokok seludup bernilai RM7.66 juta dari jeti kecil di Endau, Johor pada 11 Jun lalu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau yang juga merupakan profesor di Institut Jenayah dan Kriminologi, HELP University berkata, lebih membimbangkan, ada pegawai penguatkuasaan undang-undang yang tamak dan tidak beretika turut terjerumus ke dalam perangkap sindiket ini.

Artikel Berkaitan:

“Sindiket penyeludupan sama ada secara rasuah atau mengugut kakitangan penguat kuasa yang ditempatkan di kawasan pedalaman supaya 'menoleh ke tempat lain' dalam kegiatan penyeludupan.

"Jika tidak segera dihentikan, ekosistem berbahaya ini memberi ancaman serius terhadap struktur sosio-ekonomi penduduk pedalaman kita,” tambah beliau.

Pelbagai jenis jenama rokok dipercayai diseludup dari negara jiran disembunyikan di sebuah pondok kecil kawasan hutan bakau di Kampung Puyut, Lahad Datu.
Pelbagai jenis jenama rokok dipercayai diseludup dari negara jiran disembunyikan di sebuah pondok kecil kawasan hutan bakau di Kampung Puyut, Lahad Datu.

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk menghentikan dagangan rokok seludup dalam Belanjawan 2021, termasuk mengehadkan transhipmen rokok di pelabuhan khusus, mengenakan cukai ke atas rokok import yang tidak dibenarkan untuk eksport semula dan tidak membenarkan pengeksportan semula rokok menggunakan bot kecil.

"Nampaknya, sindiket penjenayah kini menukar strategi dengan menumpukan penyeludupan menerusi kawasan pesisir pantai, tidak lagi pelabuhan. Langkah-langkah yang digariskan di dalam Belanjawan 2021 juga telah mencapai matlamatnya ke satu tahap," kata Akhbar.

Bekas Presiden Transparency International Malaysia itu berkata, kerajaan hendaklah tegas dalam melaksanakannya secara ketat kerana sudah ada segelintir pihak mendesak supaya dilonggarkan kawalan berkenaan, terutama berkaitan transhipmen.

"Tidak wujud alasan untuk melonggarkan kawalan ke atas transhipmen. Kerajaan juga perlu memperkuatkan penguatkuasaan di sepanjang sempadan negara, khususnya di kawasan yang berisiko wujudnya 'lorong tikus'.

"Bagaimanapun, perisikan dan operasi bersama hendaklah dilakukan dengan sepenuh keikhlasan dan kejujuran demi negara, tanpa sebarang agenda tersembunyi,” katanya yang mempunyai pengalaman lebih 37 tahun dalam bidang penyiasatan.

Tegasnya, dengan sindiket jenayah kini mengubah modus operandi mereka kepada kawasan pesisir pantai, lebih banyak langkah penguatkuasaan hendaklah diwujudkan bagi menghentikan kegiatan penyeludupan.

“Sebagai tambahan kepada penambahan rondaan dan pemantauan, kakitangan penguatkuasa undang-undang hendaklah juga dilengkapi dengan teknologi, keupayaan mengumpul perisikan yang ditambah baik, berterusan mengadakan operasi dan memantau rapat dengan sistem penggiliran diamalkan, sebagai satu cara mengurangkan cubaan merasuah,” ujarnya.

Beliau berkata, perbezaan harga antara rokok seludup dengan rokok sah juga hendaklah ditangani kerana inilah satu faktor utama mengapa sindiket jenayah sanggup melakukan apa sahaja untuk membolosi undang-undang Malaysia.

Malah beliau berkata, semakin mahal rokok sah dijual di pasaran, semakin besar margin yang mereka boleh raih dan gunakan untuk merasuah lebih ramai orang.

“Di sebalik krisis berterusan Covid-19 dan perdebatan politik berkaitan pembukaan semula Parlimen, saya menyeru kerajaan agar kekal waspada dan pro-aktif di dalam memerangi aktiviti penyeludupan yang mengakibatkan ketirisan di dalam hasil cukai negara dan menjejaskan kehidupan rakyat tidak berdosa di seluruh negara,” katanya.