X

Kindly register in order to view this article
!

Shopee nafi tawar pekerjaan melalui WhatsApp

A
A

SHAH ALAM - Shopee menafikan pihaknya mengupah mana-mana individu atau organisasi untuk menawarkan peluang pekerjaan di syarikat berkenaan melalui platform WhatsApp.

Menerusi satu kenyataan, Shopee mengesahkan bahawa jawatan ‘Ejen Pembelian Atas Talian’ tidak wujud di organisasi berkenaan.

“Shopee ingin menyatakan secara rasmi bahawa kami tidak pernah mengupah mana-mana pihak untuk mengambil pekerja baharu melalui platform media sosial.

“Sekiranya sesiapa ditawarkan peluang pekerjaan yang mencurigakan, atau telah menjadi mangsa sindiket-sindiket penipuan seperti ini, sila hubungi balai polis berdekatan dan buat laporan polis dengan segera,” kata Shopee dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Shopee berkata, orang ramai boleh menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui alternatif lain termasuk platform SEMAKMULE untuk memeriksa akaun bank dan nombor telefon yang terlibat dengan jenayah komersial.

Selain itu, menurut kenyataan itu, Infoline CCID turut beroperasi antara jam 8 pagi hingga 12 tengah malam untuk memeriksa status laporan polis dan menghantar maklumat mengenai kes jenayah komersial melalui nombor telefon, 013-211 1222.

“CCID Scam Response Centre (8 pagi hingga 8 malam) talian maklumat PDRM untuk menghantar maklumat atau bertanya mengenai sindiket penipuan atas talian iaitu 03-26101559 atau 03-26101599,” ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Shopee akan terus bekerjasama dengan PDRM dalam menangani sindiket-sindiket penipuan tersebut.

“Bagi mereka yang berminat untuk meneroka kerjaya di Shopee, sila layari https://careers.shopee.com.my untuk maklumat lebih lanjut.

“Selain itu, jika anda berasa ragu-ragu mengenai pekerjaan yang diiklankan atau ditawarkan, sila hubungi [email protected] untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut sebelum mengambil sebarang tindakan,” tambahnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!