Pemimpin MILF dilantik ketua menteri sementara Bangsamoro

Murad Ebrahim
Murad Ebrahim
A
A
A

MANILA - FILIPINA. Kerajaan Filipina, semalam menyerahkan wilayah baharu diterajui Islam kepada pemimpin pemberontak yang melancarkan perjuangan untuk kuasa autonomi selama beberapa dekad.

Pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ebrahim dilantik sebagai ketua menteri sementara turut mengangkat sumpah di hadapan Presiden Rodrigo Duterte di majlis simbolik di Manila.

Pelantikan beliau dibuat selepas pengundi menyokong penubuhan Bangsamoro di wilayah selatan negara itu menerusi pemilihan pada bulan lalu yang merupakan kemuncak perjanjian damai untuk menamatkan pemberontakan yang telah meragut kira-kira 150,000 nyawa sejak 1970-an.

Duterte dan Murad berharap perjanjian damai itu dapat menangkis ekstremisme di Mindanao.

"Jalan menuju perdamaian mungkin mengambil masa panjang dan sukar. Namun, kami gembira kerana sudah capai ke tahap ini," kata Duterte ketika majlis itu yang turut menyaksikan beberapa anggota Bangsamoro yang dipilih MILF mengangkat sumpah jawatan.

Murad menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Filipina pada 2014 dan badan perundangan meluluskan kawasan pemerintahan sendiri di wilayah itu pada tahun lalu.

Difahamkan, Murad dan badan kerajaan peralihan itu akan membentuk Kabinet dan meluluskan undang-undang sehingga perjanjian sementara berakhir dengan pemilihan serantau pada Mei 2022.

Di bawah penggal pentadbirannya, lebih 10,000 pejuang bersenjata dijangka melucutkan senjata secara berperingkat seperti ditetapkan dalam kandungan perjanjian damai. - AFP

Artikel Berkaitan: