Messi bimbangkan Scaloni

Argentina melakar kemenangan ke atas Paraguay dalam aksi Copa America 2021.
Argentina melakar kemenangan ke atas Paraguay dalam aksi Copa America 2021.
A
A
A

PENGENDALI Argentina, Lionel Scaloni mengakui bimbang prestasi semasa kapten Argentina, Lionel Messi di sebalik kejayaan La Albiceleste mengatasi Paraguay pada aksi Copa America 2021 di Stadium Nacional de Brasillia pada Selasa.

Malah menurut Scaloni, kebimbangan itu disebabkan Argentina terlalu bergantung kepada pemain kelab Liga Sepanyol, Barcelona berusia 33 tahun dalam mencipta peluang menjaringkan gol.

"Permulaannya, Messi sepatutnya direhatkan dalam perlawanan menentang Paraguay ini, namun akhirnya saya akui bahawa Messi juga menjadi pencetus kepada jaringan gol pertama pasukan ini.

"Kebenarannya, Messi telah bermain telah beraksi dalam kesebelasan utama sejak kejohanan bermula dan sejujurnya amat sukar untuk Argentina tidak bergantung harap kepada Messi.

“Cumanya yang membimbangkan saya sekarang adalah tahap kondisi fizikal pemain ini, yang tidak berada pada tahap terbaik untuk bermain," kata Scaloni selepas menyaksikan pemain Argentina dipaksa bekerja keras sebelum dapat menjinakkan Paraguay.

Messi sebelum ini menjadi antara pemain La Albiceleste paling aktif di padang dalam tiga perlawanan kejuaraan berprestij bola sepak Amerika Selatan itu.

Untuk perlawanan menentang Chile sebelum ini sahaja, Messi telah melakukan sebanyak 66 sentuhan bola diikuti 78 ketika berdepan Uruguay

Dalam pada itu, kemenangan ke atas Paraguay hasil jaringan tunggal babak pertama Alejandro 'Papu' Gomez minit ke-10 sudah cukup memastikan La Albiceleste kekal di puncak kumpulan sekaligus mengisi slot kalah mati dengan berbaki satu perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Scaloni, dia bercadang untuk merehatkan pemain yang mempunyai impak besar terhadap komuniti bola sepak Argentina tersebut.

"Saya berhasrat melakukan sistem penggiliran selepas ini kerana pasukan sudah mengesahkan saingan ke slot seterusnya.

“Kejayaan mara ke saingan kalah mati memberikan sedikit kelegaan kepada semua pemain. Sekarang tiba masa semua pemain 'caj semula bateri masing-masing' bagi mengembalikan kekuatan," katanya

Argentina bakal melengkapkan saingan kumpulan dengan menentang Bolivia yang dijadualkan pada Isnin.

Untuk rekod, Argentina tidak pernah menjulang sebarang kejuaraan utama selepas menjulang kejuaraan Copa America pada 1993.