Argentina tanpa Messi tetap padu di Indonesia

Skuad La Albiceleste kendalian Lionel Scaloni ketika berdepan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada Isnin.
Skuad La Albiceleste kendalian Lionel Scaloni ketika berdepan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada Isnin.
A
A
A

JUARA dunia, Argentina tanpa kelibat kapten berpengaruh, Lionel Messi berjaya menjinakkan Indonesia 2-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Gelora Bung Karno, pada Isnin.

Malah tanpa kelibat Messi, pemenang Ballon d'Or tujuh kali dan pemain baharu kelab Liga Bola Sepak Utama Amerika Syarikat (MLS), Inter Miami, aura lebih 60,000 para penyokong skuad Garuda berjaya membentuk lautan baju merah.

Argentina memberikan tekanan sejak dari sepak mula, menguasai bola ketika Indonesia mengharungi badai setengah jam pertama jelmaan skuad La Albiceleste kendalian Lionel Scaloni tersebut.

Gol dicari Argentina akhirnya hadir menerusi pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG) Leandro Paredes pada minit ke-38 selepas menterjemah bantuan gol Exequiel Palacios sekali gus merobek pertahanan ampuh anak buah Shin Tae-yong tersebut.

Paredes antara pencetak gol ketika Argentina menewaskan Indonesia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Gelora Bung Karno pada Isnin.
Paredes antara pencetak gol ketika Argentina menewaskan Indonesia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Gelora Bung Karno pada Isnin.

Separuh masa kedua tuan rumah yang berstatus ranking ke-149 dunia berusaha kembali dalam permainan dengan membawa masuk beberapa pemain gantian.

Bagaimanapun, Argentina kembali melebarkan pendahuluan hasil sentuhan Cristian Romero yang menyudahkan bantuan gol daripada Giovani Lo Celso pada minit ke-55.

Selain Messi, kunjungan Argentina ke Indonesia juga tanpa kelibat beberapa tonggak termasuk pemain tengah Juventus, Angel Di Maria dan pertahanan Benfica, Nicolas Otamendi.

La Albiceleste sebelum berkunjung ke Jakarta, telah menewaskan Australia, 2-0 dalam satu lagi perlawanan persahabatan di Beijing minggu lalu, dengan Messi menjaringkan gol terpantas dalam kariernya.

Dalam pada itu, Scaloni mengakui Argentina berdepan kesukaran untuk mengalahkan Indonesia terutamanya dengan gaya permainan dipamerkan skuad Garuda tersebut.

Biarpun begitu Scaloni tetap memuji Julian Alvarez dan para pemain Argentina lain apabila menampilkan permainan terbaik masing-masing dalam perlawanan berintensiti tinggi tersebut.

"Ya, seperti yang saya jangkakan sebelum ini bahawa ia bukan merupakan satu perlawanan yang mudah berdepan Indonesia.

"Namun saya gembira apabila para pemain telah melakukan yang terbaik tambahan pula Argentina tampil ke Jakarta tanpa beberapa pemain utama," katanya.