Tumpu 3 aspek jamin kestabilan sosial di Xinjiang

Delegasi media dari Malaysia dan Indonesia dibawa melawat Muzium Xinjiang yang memaparkan sejarah wilayah itu dan kepelbagaian etnik dan budayanya
Delegasi media dari Malaysia dan Indonesia dibawa melawat Muzium Xinjiang yang memaparkan sejarah wilayah itu dan kepelbagaian etnik dan budayanya
A
A
A

XINJIANG, CHINA - Pendidikan, kesihatan dan ekonomi penduduk dititikberatkan oleh Kerajaan China dalam memastikan kestabilan sosial di Wilayah Autonomi Xinjiang.

Ketua Jabatan Publisiti Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang, Tian Wen berkata, banyak perubahan di wilayah itu dalam tempoh 40 tahun.

Menurutnya, Kerajaan China berusaha membasmi kemiskinan dan menyasarkan tiada lagi penduduk miskin menjelang 2020.

"Kerajaan membantu daripada segi keperluan asas makanan, perubatan dan pendidikan.

"Malah di Xinjiang, penduduk diberikan pemeriksaan kesihatan percuma sekali setahun," katanya.

Tian Wen
Tian Wen

Beliau berkata demikian ketika meraikan ketibaan delegasi media dari Malaysia dan Indonesia ke Beijing serta Xinjiang, ASEAN Elite China Tour 2019, anjuran kedutaan negara itu, di sini semalam.

Mengulas mengenai pendidikan di Xinjiang, Wen berkata, kanak-kanak mula bersekolah tadika seawal usia 4 tahun dan diberikan makanan percuma.

Artikel Berkaitan:

Katanya, terdapat tadika di setiap kampung bagi memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan sewajarnya.

"Selepas menghabiskan pendidikan rendah selama sembilan tahun, anak-anak akan memulakan pengajian di sekolah tinggi dan mereka yang kurang berkemampuan akan dibantu.

"Kerajaan juga ada menyediakan bantuan bagi pelajar yang layak di peringkat kolej dan universiti," katanya.

Bagi membantu penduduk keluar dari garis kemiskinan katanya, kerajaan menyediakan kursus kemahiran dan vokasional antaranya dalam bidang katering dan pembuatan pastri.

"Objektifnya bagi memastikan penduduk khususnya di kawasan daif memiliki kemahiran yang membolehkan mereka bekerja dan menjana pendapatan," katanya.

No Image Caption

Beliau berkata, 850,000 penduduk berjaya keluar dari garis kemiskinan tahun lalu dan kerajaan mahu memastikan sekurang-kurangnya seorang dalam setiap keluarga mempunyai pekerjaan.

Daripada segi sektor pelancongan, Wen berkata, pada 2018, 150 juta pelancong asing melawat Xinjiang dan pihaknya menyasarkan 200 juta pelancong tahun ini.

Katanya, Xinjiang mempunyai sejarah yang panjang dan sejak ribuan tahun lalu, penduduk dari semua kumpulan etnik membina dan mendiami wilayah ini yang dibahagikan kepada bahagian utara, selatan dan timur.

Menurutnya, wilayah ini meliputi 1.66 juta kilometer (km) persegi iaitu satu perenam daripada keluasan China serta bersempadan dengan lapan negara.

Wen berkata, Xinjiang mempunyai kepelbagaian budaya dan pemandangan yang unik serta indah, selain kaya dengan sumber alam.

"Terdapat 56 kumpulan etnik menganuti pelbagai agama seperti Islam, Buddha dan Kristian yang hidup secara harmoni.

"Menerima layanan sama rata, 10 kumpulan etnik di Xinjiang ada ramai penduduk beragama Islam.

"Kerajaan China sentiasa berusaha memastikan perpaduan antara kumpulan etnik dicapai," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Urumqi yang merupakan ibu negara Xinjiang kini pesat membangun menerusi pelaksanaan projek jaringan kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan daerah itu dengan barat Beijing.

Katanya, berlaku perubahan yang dramatik, di mana kehidupan penduduk menjadi lebih baik dan banyak pencapaian hebat direkodkan.