X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 09 Disember 2021

MAHB kemuka pelan Lapangan Terbang Subang kepada kerajaan

A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah mengemukakan pelan strategik dan komprehensif bagi pembangunan jangka panjang Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS atau Lapangan Terbang Subang) kepada kerajaan.

Dalam kenyataan pada Isnin, pengendali lapangan terbang itu berkata, pelan pembangunan semula itu telah disahkan menerusi penanda aras yang luas dan penglibatan pihak berkepentingan berdasarkan tiga bidang utama iaitu ekosistem aeroangkasa, penerbangan perniagaan dan lapangan terbang komuniti bandar.

“Ia bertujuan mendorong SAAS untuk menjadi hab penerbangan aeroangkasa dan perniagaan pilihan di Asia Pasifik dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, sejak syarikat itu ditugaskan kerajaan pada 2005 untuk membangunkan SAAS kepada taman aeroangkasa antarabangsa, ia telah memperluaskan ekosistemnya sebanyak empat kali ganda dan menarik kehadiran 60 jenama terkemuka dan memudahkan aliran masuk modal melebihi RM500 juta.

“Ketika ini, terdapat lebih 35 pengendali penerbangan tempatan dengan separuh daripadanya merupakan syarikat bumiputera,” katanya.

Pada masa depan, Mohd Shukrie berkata, pelan pembangunan semula itu akan mengembangkan ekosistem sebanyak tiga kali ganda, menggandakan jumlah pengendali global dan tempatan melebihi 100 untuk mewujudkan dan menyokong 19,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Ia akan membantu meneraju peralihan Malaysia kepada teknologi tinggi, dipacu industri Revolusi Perindustrian Keempat dan negara berpendapatan tinggi dengan nilai unjuran lebih RM10.0 bilion kepada ekonomi negara.

"Ini seiring dengan teras strategi yang dikenal pasti dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kerajaan dan akan mencapai aspirasi Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030,” katanya.

Dengan rizab tunai dalaman yang mencukupi bagi pelan pembangunan semula itu, Mohd Shukrie berkata, MAHB kini bersedia untuk melaksanakan pelan pembangunan semula SAAS.

“Pelan itu memerlukan pelaburan infrastruktur sebanyak RM300 juta secara berperingkat untuk tempoh lima tahun akan datang dan ini selari dengan kemampuan kita kerana kita masih mempunyai kedudukan tunai dan pasaran wang yang kukuh berjumlah RM1.6 bilion dengan RM9.14 juta diperuntukkan bagi operasi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pembiayaan bagi kemudahan siap dibina atau bangunan yang sesuai dengan keperluan boleh dipermudahkan menerusi gabungan tunai dalaman serta pilihan pembiayaan projek.

“Meskipun pandemik, kami mengekalkan penarafan kredit kami pada AAA oleh RAM Ratings dan A3 oleh Moody’s Investors Service, yang setara dengan penilaian kredit negara Malaysia,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!