Wanita herdik polis di SJR ditahan

Mohd Zaidi menunjukkan barang yang dirampas daripada semua individu yang disiasat berhubung rakaman video tular yang memaparkan wanita mengherdik anggota polis di SJR Jalan Kapayan, Kota Kinabalu.
Mohd Zaidi menunjukkan barang yang dirampas daripada semua individu yang disiasat berhubung rakaman video tular yang memaparkan wanita mengherdik anggota polis di SJR Jalan Kapayan, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Wanita yang bertindak mengherdik anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) Jalan Kapayan hingga videonya tular baru-baru ini ditahan polis di kediamannya di sebuah kondominium di Jalan Lintas pada Ahad.

Wanita berusia 34 tahun itu ditahan pada jam 11.20 pagi bagi membantu polis melengkapkan siasatan berhubung insiden yang berlaku pada 1 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, wanita itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan permohonan reman dibuat pada Isnin.

"Proses siasatan sedang dilakukan termasuk merakam percakapan, membuat kawat cam dan dokumentasi terhadap wanita ini. Siasatan sudah 80 peratus siap.

"Kita menjangkakan siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam dan kita akan memohon tahanan reman untuk tempoh dua hari.

"Dalam tempoh itu, kita akan lengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan selanjutnya," katanya dalam sidang akhbar di IPD Kota Kinabalu pada Isnin.

Video tular membabitkan kejadian itu tersebar di laman sosial.
Video tular membabitkan kejadian itu tersebar di laman sosial.

Dalam pada itu, Mohd Zaidi turut menafikan bahawa insiden terbabit berlaku disebabkan anggotanya membuat provokasi terlebih dahulu seperti yang didakwa wanita itu di dalam Facebook.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian awal mendapati, wanita itu membuat provokasi kerana marah pada anggota yang mahu mengeluarkan saman terhadap dua kesalahan lalu lintas.

"Bukan kerana beliau diprovokasi terlebih dahulu oleh anggota seperti yang tersebar dalam Facebook sebelum ini. Dakwaan wanita itu tidak betul kerana proses ditahan untuk saman tidak mengambil masa sehingga 30 minit," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Zaidi berkata, siasatan adil dilakukan terhadap kedua-dua pihak termasuk penyebaran video terbabit.

"Video itu dirakam oleh salah seorang anggota petugas di SJR kerana melihat ada kekecohan berlaku dan secara spontan merakamkan insiden berkenaan tetapi bukan tujuan untuk disebarkan.

"Objektif siasatan adalah mencari kebenaran jadi kita menjalankan siasatan kedua-dua pihak di mana seorang pegawai serta tujuh anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut disiasat selain dirakam percakapan," katanya.

Sebelum itu, Mohd Zaidi berkata, beberapa barang milik wanita itu dirampas termasuk kunci kereta, kenderaan, pakaian dan telefon bimbit serta tiga lagi telefon bimbit milik anggota yang terlibat.

Beliau menjelaskan, pakaian itu dirampas bagi mengenal pasti ia adalah pakaian yang dipakai wanita itu dalam kejadian yang dirakam dalam video berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

ARTIKEL BERKAITAN Polis siasat wanita herdik anggota di SJR