X

Kindly register in order to view this article
!

Gagal penalti punca Sepanyol gigit jari

Moreno gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika aksi menentang Poland di Sevilla awal pagi Ahad. -Foto: EPA
A
A

KEGAGALAN pemain tengah Sepanyol, Gerard Moreno menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-58 dilihat sebagai punca utama yang menyebabkan La Roja terikat 1-1 ketika berdepan Poland dalam aksi Kumpulan E Euro 2020 di Sevilla pada awal pagi Ahad.

Hakikat itu diakui oleh pengendali La Roja, Luis Enrique yang sudah pun memasang impian untuk skuad kendaliannya itu melangkah sebelah kaki ke saingan kalah mati pada saingan Euro kali ini.

“Mungkin juga kami telah mencuba sedaya upaya pada perlawanan ini menerusi beberapa percubaan ke pintu gol lawan.

“Bagaimanapun, kegagalan menyempurnakan penalti adalah sesuatu yang malang bagi kami, apatah lagi ia berlaku pada saat yang cukup penting.

“Kami berharap untuk terus beraksi dengan baik selepas itu, tetapi malangnya kami tidak berjaya melakukannya. Jika ia adalah perlawanan tinju, sudah pasti kami menang dari segi kiraan mata,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Alvaro Morata membuka jaringan buat Sepanyol pada minit ke-25, namun Robert Lewandowski berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-54.

Namun, skuad La Roja itu melepaskan peluang keemasan untuk menjaringkan gol kedua pada minit ke-58 apabila Moreno gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Sementara itu, Enrique berkata, dia juga kagum dengan benteng pertahanan Poland yang dilihat berjaya mengekang segala asakan jentera serangannya sepanjang perlawanan.

“Kami sememangnya mahu beraksi dengan lebih baik dan memberikan sesuatu kepada penyokong, tetapi kami sedar, Poland juga beraksi dengan baik bagi mengekang segala asakan yang dilancarkan.

“Mereka telah berjaya menutup ruang-ruang yang selama ini didominasi oleh pemain kami dan sekali gus memberikan tekanan kepada kami.

“Kini, kami tidak ada pilihan lain selain menewaskan Slovakia pada aksi terakhir jika mahu layak ke pusingan kalah mati,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!