X

Kindly register in order to view this article
!

Pemandu lori ditahan curi tong sampah

Suspek ditahan reman bermula Ahad untuk siasatan lanjut.
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pemandu lori ditahan selepas dipercayai mencuri sebuah tong sampah jenis besi milik sebuah kedai aluminium di Kepala Batas di sini pada petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 55 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di kawasan Bayan Baru, Georgetown pada jam 4.50 petang.

Menurut beliau, polis menerima laporan daripada pemilik sebuah kedai aluminium berhubung kehilangan tong sampah berkenaan pada Khamis.

"Menurut pemilik kedai itu, selepas mendapati tong sampah jenis besi yang diletakkan di hadapan kedainya hilang, dia memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premisnya.

"Pemeriksaan mendapati, tong sampah tersebut telah ditarik oleh seorang lelaki yang tidak dikenali menggunakan sebuah lori pada jam 6.30 pagi, Rabu.

"Dia yang mengesyaki tong sampahnya itu dicuri terus membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Lori dan tong sampah antara yang dirampas daripada suspek.
Lori dan tong sampah antara yang dirampas daripada suspek.

Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di kawasan rumah kedai dan tong sampah berkenaan diletakkan di kawasan tidak berpagar di hadapan kedai tersebut.

"Tong sampah tersebut telah digunakan kira-kira dua tahun oleh pemilik kedai aluminium berkenaan. Selepas risikan dan siasatan dibuat, kita berjaya menahan suspek di Bayan Baru untuk siasatan.

"Suspek mengaku telah mencuri tong sampah tersebut dengan menggunakan lori miliknya. Kita merampas sebuah lori pengangkut tong sampah, sebuah tong sampah besar jenis besi bertutup kain kanvas yang berada di atas lori tersebut dan serangkai anak kunci.

"Semakan mendapati, suspek mempunyai 13 rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah. Suspek yang bekerja sendiri direman bermula hari ini (Ahad) untuk siasatan lanjut," katanya.

Noorzainy berkata, suspek dipercayai akan menjual tong sampah tersebut kepada pihak lain untuk mendapatkan wang.

Bagaimanapun katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Aeksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!