X

Kindly register in order to view this article
!

Selamba tanam sawit dalam hutan simpan

Tiga lelaki tidak sempat membawa keluar buah kelapa sawit dari kawasan Hutan Simpan Bubu, Manjung apabila diberkas pasukan penguat kuasa Pejabat Renjer Hutan Beruas di hutan simpan berkenaan pada Sabtu.
A
A

IPOH - Tiga lelaki tidak sempat membawa keluar buah kelapa sawit dari kawasan Hutan Simpan Bubu, Manjung apabila diberkas pasukan penguat kuasa Pejabat Renjer Hutan Beruas di hutan simpan berkenaan pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, serbuan itu dibuat ketika pasukan penguat kuasa tersebut menjalankan rondaan bagi mengesan sebarang aktiviti pencerobohan hutan dan penerokaan haram sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

Menurut beliau, semasa rondaan dibuat, tiga orang suspek itu sedang mengambil hasil buah sawit yang mana penanaman kelapa sawit tersebut menerusi aktiviti penerokaan secara haram di Kompartmen 62, Hutan Simpan Bubu.

"Berdasarkan rekod jabatan, aktiviti penerokaan hutan secara haram di kawasan Kompartmen 62, Hutan Simpan Bubu ini telah berlaku sejak tahun 2010 lagi dan melibatkan kawasan penerokaan seluas hampir 45 hektar.

"Dalam serbuan itu juga, pasukan penguat kuasa turut menemui sebuah lori tiga tan, sebuah motosikal, dua batang 'loading' sawit, sebatang cangkuk sawit dan sebilah parang panjang yang digunakan untuk mengeluarkan hasil sawit tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bagi siasatan lanjut dan kemudiannya dilepaskan dengan jaminan polis.

Jelasnya, kesemua barang kes telah disita dan dibawa ke Stor Rampasan Jabatan Perhutanan Perak untuk tindakan lanjut.

Mohamed Zin berkata, kesemua mereka yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 81(1)(g) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, beliau berkata, Pejabat Renjer Hutan Batu Gajah telah menerima satu aduan berhubung satu cubaan menceroboh hutan simpan di sebahagian Kompartmen 91, Hutan Simpan Kledang Saiong di sini pada Jumaat.

Menurutnya, ketika tinjauan dibuat di lokasi yang dimaksudkan, pasukan penguat kuasa menemui sebuah excavator yang dipercayai digunakan bagi tujuan pencerobohan hutan tersebut.

"Bagaimanapun, tiada individu yang ditangkap semasa serbuan dibuat dan mereka dipercayai telah melarikan diri setelah menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.

"Jabatan Perhutanan Perak ingin memberi peringatan kepada orang awam bahawa kami akan tetap menguatkuasakan Akta Perhutanan Negara 1984 melalui pemantauan dan rondaan yang dibuat walaupun dalam tempoh PKP 3.0 ini berjalan," katanya.

Jelas Mohamed Zin, sekiranya orang ramai dan masyarakat awam mempunyai sebarang maklumat mengenai sebarang aktiviti penerokaan, pencerobohan atau pembalakan haram yang melibatkan hutan simpanan kekal di negeri ini bolehlah menghubungi pegawai penguat kuasa talian 011- 6556 6714.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!