Ramai rakyat derita akibat strok

Khairuddin (kanan) mendengar luahan seorang pesakit dalam lawatannya ke dua kampung berkenaan.
A
A

KUALA NERUS - Strok adalah penyakit paling tinggi dikesan dihidapi pelbagai peringkat usia di Kuala Nerus berdasarkan lawatan dijalankan Ahli Parlimennya, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali di sini.

Beliau berkata, rata-rata penduduk yang dilawati di daerah itu menghidap penyakit berpunca daripada strok dan jumlah tersebut kian membimbangkan.

Katanya, masyarakat perlu mencegah penyakit berbahaya itu melalui beberapa amalan lain seperti tidak merokok, menangani stres dengan baik dan mengambil pemakanan secara seimbang.

"Kita juga sarankan semua peringkat umur supaya mengambil berat tentang isu ini dan sentiasa menjaga kesihatan mereka dengan amalan hidup sihat ini bermula sejak dari awal lagi," katanya selepas melawat lapan keluarga di Jeram dan Tanjung Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Seketariat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus, Hafeez Sahidi dan sekumpulan pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs) Dun Buluh Gading.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup sihat dari aspek pemakanan, bersenam dan sentiasa melakukan ujian saringan kesihatan di pusat kesihatan.

Dalam pada itu, katanya, keadaan pesakit terbabit turut memberikan kesan kepada ahli keluarga masing masing malah ada ahli keluarga yang menitiskan air mata kerana sedih mengenangkan nasib menimpa.