X

Kindly register in order to view this article
!

ADUN gesa laksana PKPD di Sungai Petani

Tze Min menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Petani.
A
A

SUNGAI PETANI - Majlis Keselamatan Negara (MKN) digesa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Petani, Daerah Kuala Muda kerana lebih 100 kes Covid-19 dilaporkan setiap hari.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min berkata, PKPD di kawasan tumpuan khususnya membabitkan kawasan industri diharap mampu menghentikan penularan wabak Covid-19 sekali gus membolehkan operasi kilang dihentikan.

Beliau mendakwa banyak kluster baharu wujud di tempat kerja khususnya di kilang yang didakwa masih beroperasi.

"Banyak penularan berlaku di lokasi ini sehingga berisiko terhadap komuniti setempat," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Simon Ooi, bagi memastikan komuniti bebas jangkitan, ujian saringan Covid-19 perlu dijalankan secara besar-besaran bagi memastikan pesakit atau kontak rapat dikenakan perintah kuarantin selain mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Sekiranya kilang ditutup, kita harap tiada lagi penularan khususnya membabitkan pekerja kilang yang merebak dengan cepat," katanya.

Beliau juga berharap penguatkuasaan membabitkan sektor ekonomi diperketatkan dan kilang yang dikategorikan sebagai keperluan utama sahaja dibenarkan beroperasi.

"Kerajaan juga perlu prihatin memberikan bantuan dan subsidi kepada mereka yang terjejas pendapatan khususnya yang dikenakan perintah kuarantin," katanya.

Setakat ini, kes baharu positif Covid-19 di Kuala Muda mencecah tiga angka setiap hari termasuk membabitkan pekerja industri di Sungai Petani.

Mengikut statistik, kes baharu di Daerah Kuala Muda mencatatkan angka 100 kes (58 kes dari Sungai Petani) berbanding 159 kes di keseluruhan negeri Kedah pada 18 Jun, 115 kes (60 kes Sungai Petani) berbanding 197 kes di Kedah pada 17 Jun dan 141 kes (78 Sungai Petani) berbanding keseluruhan 228 kes di Kedah pada 16 Jun 2021.

Setakat ini, kluster yang dikaitkan dengan pekerja kilang di Sungai Petani termasuk Kluster Dah Makmur, Dah Industri Arang, Dah Industri Bakar, Dah Ria Jaya, Dah PKNK 3/8 dan Dah Industri Desa.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff turut menggesa agar kerajaan meneliti semula kelulusan membabitkan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, penelitian dan pemantauan perlu dilakukan bagi memastikan kebenaran beroperasi tidak disalahguna sekali gus mengundang risiko penularan kepada pekerja kilang yang semakin meningkat ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pantau operasi kilang semasa PKP


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!