X

Kindly register in order to view this article
!

Kayuh basikal jual produk sejuk beku demi kelangsungan hidup

Husin berehat sebelum menjual kuih sejuk beku bagi mencari sumber pendapatan harian di kediamannya di Kampung Tengku Hussein Hujong, Manjoi pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A

IPOH - Seorang warga emas Husin Muhamad, cekal mengayuh basikal hampir setiap hari untuk menjual pelbagai aneka produk sejuk beku bagi mencari sumber pendapatan harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), demi kelangsungan hidup.

Seawal 9 pagi, beliau akan memulakan kayuhan basikal hingga 12 tengah hari mengelilingi kawasan Kampung Tengku Hussein Hujong, Manjoi di sini dan sekitarnya dengan melaungkan 'kuih-kuih' untuk menarik perhatian pembeli.

Beliau yang mesra dikenali sebagai Pak Cik Husin, 60, itu berkata, produk itu diletakkan di dalam bekas gabus (styrofoam) bagi mengekalkan kualitinya dan diikat di belakang tempat duduk supaya tidak terjatuh sewaktu kayuhan di sekitar kampung tersebut.

”Saya menjual pelbagai jenis kuih sejuk beku seperti karipap, samosa, donat, pau dan macam-macam lagi untuk menarik perhatian pembeli.

"Jika ada tempahan melalui WhatsApp saya akan menghantar ke rumah mereka tanpa caj penghantaran manakala pembeli dari luar kawasan Manjoi mereka akan ambil di rumah saya atau tunggu di mana-mana lokasi," jelasnya ketika ditemui Bernama bersama isterinya di rumah mereka hari ini di kampung tersebut kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar raya.

Husin (kiri) bertemu pelanggan yang ingin membeli kuih sejuk beku di sekitar Kampung Tengku Hussein Hujong, Manjoi pada Jumaat. - Foto Bernama
Husin (kiri) bertemu pelanggan yang ingin membeli kuih sejuk beku di sekitar Kampung Tengku Hussein Hujong, Manjoi pada Jumaat. - Foto Bernama

Jelasnya, idea ini tercetus hasil perbincangan bersama anak buahnya tahun lepas kerana beliau suka menunggang basikal serta mempunyai minat untuk menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan.

"Saya kurang pandai membawa motosikal jadi saya memilih untuk membuat jualan menggunakan basikal,” katanya yang turut memakai pelitup muka dalam suasana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Beliau berkata, jualan produk sejuk bekunya ketika tempoh PKP 3.0 ini sedikit terjejas kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Manjoi dari 6 hingga 19 Jun ini.

Husin yang juga merupakan anak jati Parit berkata beliau meraih kira-kira RM200 sebulan hasil usahanya itu mengayuh basikal sambil menjual kuih sejuk beku yang diperoleh daripada pembekal di Changkat Jering.

Beliau menambah, kuih sejuk bekunya itu dijual dengan harga RM6 sebekas dan beliau tidak pernah menaikkan harga tersebut walaupun dalam tempoh PKP kerana tidak mahu meraih keuntungan semata-mata.

"Kebanyakan pembeli memuji kerana saya masih menjual kuih sejuk beku dengan harga murah dan berpatutan walaupun ketika PKP. Saya pun jual kuih suka-suka jadi bila dengar komen seperti itu saya seronok dan berharap lebih ramai yang membeli," ujarnya.

Beliau yang sebelum ini bekerja secara kontrak sebagai penjaga stor makmal di Klinik Kesihatan Jelapang di sini turut menjual makanan dan minuman sampingan lain seperti pelbagai aneka kopi, air tin, kerepek ubi, kacang dan telur masin bagi menambah pendapatannya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!