Pengurusan kes Neelofa, suami langgar SOP ditunda

Noor Neelofa dan suami, Muhammad Haris berdepan dakwaan pelanggaran SOP PKPB pada 20 Mei lepas. - Foto Bernama
Noor Neelofa dan suami, Muhammad Haris berdepan dakwaan pelanggaran SOP PKPB pada 20 Mei lepas. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Pengurusan kes selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet di Nilai dekat sini, ditunda ke 15 Julai ini.

Peguam pasangan itu, M Haresh berkata, pengurusan kes tersebut sebelum ini dijadualkan pada 23 Jun namun ditangguhkan susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Mahkamah Majistret menetapkan 15 Julai sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di pusat perniagaan Nilai 3, dekat sini, pada 2 Mei lalu.

Mereka berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang, 2 Mei lalu.

Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Neelofa, suami mengaku tidak bersalah langgar SOP PKPB

Polis siasat Neelofa tidak pakai pelitup muka

Neelofa selesai beri keterangan tidak pakai pelitup muka