Dua kluster baharu babit Pusat Jagaan Warga Emas

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Dua pusat jagaan warga emas, masing-masing diisytiharkan sebagai Kluster Jalan Stampin dan Kluster Iris Garden di sini, menjadi antara enam kluster baharu Covid-19 di Sarawak pada Khamis.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, Kluster Jalan Stampin berpunca daripada kontak rapat dalam kalangan penghuni pusat tersebut, apabila 18 kes positif penyakit itu telah dikesan dan enam lagi kes sedang menunggu keputusan ujian saringan kedua.

“Kluster Iris Garden pula melibatkan sebuah lagi pusat jagaan warga emas di Iris Garden di sini, yang turut berpunca daripada kontak rapat dalam kalangan penghuninya, dengan lapan kes didapati positif Covid-19 dengan salah satu daripada kes itu telah menyebabkan kematian,” menurut kenyataan JPBN itu.

Satu lagi kluster di daerah Kuching diisytiharkan sebagai Kluster Jalan Keruing, ekoran pergerakan sosial dan kontak rapat di tempat kerja yang melibatkan 11 kes positif, sementara di daerah Bau, Kluster Kampung Serikin diisytiharkan melibatkan 19 kes positif.

Dua lagi kluster baharu adalah Kluster Sawai Niah di daerah Subis, yang melibatkan pekerja sebuah kilang kelapa sawit dan ahli keluarga mereka, yang mencatatkan 32 kes positif dan Kluster Jalan Kidurong Empat di Bintulu melibatkan sebuah kawasan setinggan, apabila 18 kes positif direkodkan.

Hari ini Sarawak merekodkan 559 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 58,034. Terdapat dua kes kematian baharu direkodkan melibatkan jangkitan itu, sekali gus menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 366 orang. -Bernama

Artikel Berkaitan: