Poverty Circle rangka strategi tangani kemiskinan

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menubuhkan dan mempengerusikan ‘Poverty Circle’ yang dianggotai oleh wakil-wakil kerajaan, swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan tokoh-tokoh akademik bagi membincangkan dan merangka strategi terbaik menangani kemiskinan khususnya ketika pandemik Covid-19.

Dalam kenyataan bersempena webinar Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diadakan hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri akan menjadi urus setia kepada ‘Poverty Circle’ ini.

“Pandemik Covid-19 telah memberi kesan terhadap pencapaian SDG, namun ia juga memberi peluang kepada Malaysia untuk menetapkan semula pembangunan negara ke arah masa depan yang lebih makmur, inklusif dan mampan,” katanya.

Secara keseluruhan, Mustapa menjelaskan, Malaysia telah mencapai kemajuan yang baik terutamanya dalam menangani kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya, berdasarkan metodologi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019, kadar kemiskinan mutlak telah berkurangan kepada 5.6 peratus meliputi 405,441 isi rumah pada 2019 berbanding 7.6 peratus (525,743 isi rumah) pada 2016.

Berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan, pandemik ini telah menyebabkan kadar kemiskinan di Malaysia meningkat kepada 8.4 peratus pada 2020 berbanding 5.6 peratus pada 2019.

Kadar kemiskinan tegar juga telah berkurangan kepada 0.4 peratus (27,158 isi rumah) pada 2019 daripada 0.6 peratus (45,004 isi rumah) pada 2016.

Mustapa berkata, insiden kemiskinan telah berkurangan bagi semua kumpulan etnik dengan peratusan pengurangan terbesar dicatatkan oleh Bumiputera.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat kelompok kemiskinan dan ketidaksamarataan serta kemiskinan pelbagai dimensi - kemiskinan dalam konteks yang lebih luas, melibatkan aspek pendapatan dan bukan kewangan merangkumi kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas.

“Impak pandemik Covid-19 kepada ekonomi Malaysia telah menjejaskan pendapatan rakyat dan menyebabkan lebih banyak isi rumah terdedah kepada kemiskinan terutamanya dalam kalangan B40 dan golongan rentan,” kata Mustapa. - Bernama