Pelajar tercicir: Kerajaan perlu lebih proaktif tangani kemiskinan

Gambar hiasan (Gambar kecil: Charles Santiago)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Charles Santiago)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa melakukan kajian menyeluruh dalam mengenal pasti pelajar yang tercicir dalam pembelajaran ekoran masalah kemiskinan.

Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, ia bagi mengenal pasti masalah itu besar atau kecil serta mengumpul jumlah sebenar golongan ini mengikut jantina kerana kebiasaannya pelajar lelaki sahaja dianggap wajib ke sekolah.

“Ini berikutan pemikiran sesetengah ibu bapa yang menganggap wanita tidak perlu bekerja dan hanya akan menjadi suri rumah apabila tamat sekolah.

“Setelah kajian selesai dilakukan, kerajaan atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dicadangkan untuk fokus kepada permasalahan yang dihadapi dan salurkan bantuan mengikut kategori,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sembilan alasan pelajar tidak menghabiskan pembelajaran disebabkan beberapa faktor antaranya mahu sara keluarga kerana ayah terlantar akibat kanser otak dan tak mampu kerana bapa Orang Kurang Upaya (OKU) hanya kerja potong rumput.

Dalam pada itu, beliau yang terkilan dengan situasi tersebut mencadangkan, pemberian bantuan dari segi kemudahan pengangkutan penting kerana terdapat pelajar di Kelantan yang terpaksa berjalan sehingga lima kilometer setiap hari.

“Di Selangor, ada disediakan bas untuk mengambil pelajar pergi dan pulang dari sekolah, maka kaedah sama boleh digunakan oleh pihak kerajaan negeri Kelantan dan bekerjasama dengan PPD mengenal pasti keluarga yang menghadapi masalah ini.

“Bantuan makanan juga perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan, PPD dan firma-firma yang boleh menjadi penyumbang bagi menampung kos penyediaan makanan percuma sekolah setiap hari,” jelasnya.

Menurutnya lagi, selain kemiskinan terdapat alasan lain yang digunakan oleh ibu bapa iaitu masalah dalaman keluarga menyebabkan mereka tidak menghantar anak ke sekolah.

“Kerajaan perlu lebih serius mengenai perkara ini kerana ia sudah bercanggah dengan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di mana semua pelajar wajib ke sekolah.

“Masalah ini juga sudah menampakkan unsur-unsur buruh paksa kerana pelajar bawah umur yang berusia kurang 15 tahun bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga mereka.

Charles menegaskan, isu sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana anak-anak ini merupakan harta negara, namun jika masih dibelenggu kemiskinan ia akan menyebabkan mereka tidak dapat menyerlahkan bakat dan potensi diri.