Apa sebenarnya yang menjejaskan kita

No Image Caption
A
A
A

SEBAIK sahaja kes harian mencatatkan lebih 9,000 kes, kerajaan segera mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu selama 14 hari sebelum dilanjutkan sehingga 28 Jun.

Selepas dua minggu berlalu, kes harian kini merekodkan lebih 5,000 kes. Adakah ia petanda yang baik bahawa bahaya kes jangkitan Covid-19 makin berkurangan? Walaupun kita masih belum boleh meraikan kejayaan, namun sekurang-kurangnya kesan daripada PKP 3.0 semakin menampakkan hasil.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkata, semua prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh PKP 3.0 akan dikaji semula selepas angka jangkitan baharu Covid-19 menurun kepada 4,000 kes sehari.

Beliau berkata, kajian itu bukan untuk menamatkan PKP 3.0, sebaliknya melonggarkan SOP sedia ada.

Sedikit sebanyak pengumuman itu memberikan nafas lega kepada rakyat Malaysia termasuk pemain-pemain industri yang amat terjejas akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar penularan harian berupaya susut hingga ke paras bawah 4,000 kes menjelang penghujung bulan ini dan mampu dicapai sekiranya masyarakat terus patuh SOP serta kadar kebolehjangkitan atau Rt kurang dari 0.9.

Akhirnya, semua itu boleh dicapai sekiranya masyarakat termasuk pemimpin mengambil serius perkara berkenaan.

Sudah sampai masanya kerajaan mewajibkan pengambilan vaksin supaya kadar imuniti kelompok dapat dicapai dengan pantas seperti yang diharapkan, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan dan jumlah kematian.

Artikel Berkaitan:

Malaysia telah melalui proses yang panjang sebelum ini untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan rakyat berada dalam keadaan yang optimum, namun mengapa masih wujud segelintir pihak yang ingin menggagalkannya? Wajarkan kelompok manusia ini dipulaukan atau dikenakan tindakan lebih keras?

Adakah kita semua perlu selalu 'dikurung’, barulah kes berkurangan? Apa yang tidak kena? Adakah sikap masyarakat atau penguatkuasaan SOP yang longgar atau apa sebenarnya?