X

Kindly register in order to view this article
!

Tangani isu penangguhan Sukan Para ASEAN 2021

Megat D Shariman
A
A

ISU penangguhan Sukan Para ASEAN 2021 perlu ditangani dengan sebaiknya biarpun semua pemegang taruh sedia maklum mengenai situasi semasa terutamanya pandemik Covid-19 ketika ini.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin berkata, kegagalan menangani penangguhannya boleh menyebabkan perkembangan pembangunan sukan khususnya dalam kalangan atlet para, terbantut di rantau ini.

Malah menurutnya, penangguhan sukan berkenaan juga dilihat bukan tindakan yang tepat sekiranya langkah untuk menangguhkan temasya ini berpunca daripada kelewatan persiapan tuan rumah.

“Setiap negara telah mengetahui sejak awal giliran mereka untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA serta Sukan Para ASEAN sekali gus menyebabkan tuan rumah mempunyai masa yang cukup untuk membuat persiapan ataupun menarik diri.

“Aspek kewangan juga bukanlah isu utama kerana komitmen telah diberikan sejak awal oleh negara tuan rumah apatah lagi pemilihan tuan rumah dibuat berdasarkan sistem giliran yang dipersetujui negara-negara di rantau Asia Tenggara.

“Oleh itu demi kemajuan pembangunan sukan para, Konfederasi Sukan Para Asean (APSF) perlu memandang serius terhadap perkara ini dan menyediakan langkah awal dalam usaha memastikan pengurusan risiko yang lebih proaktif untuk apa jua situasi,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Rabu.

Menurut Megat D Shariman, berita pengangguhan sukan para ASEAN juga dilihat sebagai berita yang memberikan kesan terhadap moral para atlet khususnya atlet para kerana berdepan satu lagi kemungkinan pembatalan Sukan Para ASEAN selepas edisi 2019 di Filipina.

Oleh itu katanya, MPM ingin mencadangkan supaya APSF memperkasakan wakil-wakil dari rantau ini untuk turut sama menglibatkan diri dalam penganjuran Sukan Para ASEAN pada masa hadapan

“Pihak ASPF sememangnya wajar bekerjasama dengan semua negara rantau untuk mengukuhkan hubungan dalam menghadapi cabaran untuk menganjurkan Sukan Para ASEAN Hanoi 2021, kelak.

“Bagi Malaysia, MPM telah merancang untuk membantu tuan rumah Vietnam dengan melontarkan idea dan menyediakan kepakaran bagi membolehkan penganjuran temasya dapat diteruskan.

“Oleh itu, hubungan dan kerjasama yang baik amatlah penting dalam usaha kita untuk mencapai objektif ini kerana MPM pernah mencadangkan untuk melaksanakan Projek Pemerkasaan Perbadanan Produktiviti (NPC) ASEAN sebelum ini selain sedia berkongsi pengalaman dan nilai-nilai utama untuk membangunkan sukan para di rantau Asia Tenggara,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!