PKPD: UUM pastikan kebajikan, keselamatan pelajar

Seramai 2,322 warga UUM berada di dalam kawasan PKPD berkuatkuasa sehingga 26 Jun ini seperti yang diarahkan Majlis Keselamatan Negara.
Seramai 2,322 warga UUM berada di dalam kawasan PKPD berkuatkuasa sehingga 26 Jun ini seperti yang diarahkan Majlis Keselamatan Negara.
A
A
A

KUBANG PASU – Pihak pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) akan memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terjamin sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampus berkenaan bermula 13 Jun lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UUM, pihak universiti telah menyediakan makanan percuma sebanyak tiga kali sehari iaitu pagi, tengah hari dan malam selain bantuan makanan kering.

"Bagi pelajar yang memerlukan perkhidmatan pembelian barang keperluan harian atau bahan mentah ia akan dibantu pihak pengurusan Inapan Siswa (Inasis) dan Pusat Penginapan Pelajar (SAC)," kata kenyataan terbabit yang dikeluarkan pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, warga kampus yang berada dalam kawasan PKPD UUM juga sentiasa diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan tiada penularan Covid-19 di dalam kampus.

"Seramai 2,322 warga UUM berada di dalam kawasan PKPD berkuatkuasa sehingga 26 Jun ini seperti yang diarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Jumlah tersebut melibatkan 2,067 pelajar terdiri 1,823 pelajar tempatan dan 244 pelajar antarabangsa bersama 55 ahli keluarga, manakala 200 lagi adalah staf UUM berserta keluarga yang berada dalam kawasan PKPD UUM," katanya.

Katanya, Bilik Gerakan Bencana UUM juga telah diselaraskan dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu bagi menyelaras pengurusan PKPD dalam kawasan ini.

"Sepanjang pelaksanaan PKPD UUM, staf dikehendaki Bekerja Dari Rumah (BDR) kecuali staf essential dan pelajar tidak dibenarkan keluar dari Inasis.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kawalan keluar masuk kampus dikuat kuasa oleh Polis DiRaja Malaysia dengan dibantu Jabatan Keselamatan UUM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)," katanya.

Tambah kenyataan itu, sebarang bantuan atau edaran makanan akan dilakukan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pihak UUM meminta ibu bapa atau penjaga pelajar supaya tidak bimbang terhadap keadaan anak mereka yang terbabit dengan penguatkuasaan perintah berkenaan kerana UUM akan sentiasa memantau dan menjaga kebajikan pelajar sepanjang berada di kampus ini," katanya.