X

Kindly register in order to view this article
!

Raisi calon pilihan ganti Rouhani

Ebrahim Raisi
A
A

KETUA Badan Kehakiman Iran, Ebrahim Raisi merupakan calon pilihan untuk memenangi pilihan raya Presiden Iran yang akan diadakan pada 18 Jun ini sekali gus menggantikan Hassan Rouhani setelah beliau memegang jawatan tersebut selama dua penggal.

Rouhani menjadi Presiden negara itu sejak tahun 2013 tetapi undang-undang Iran melarang pemegang jawatan tersebut bertanding buat kali ketiga manakala lebih 59 juta pengundi daripada 83 juta penduduk layak mengundi kali ini.

Ramai pihak menganggap Raisi yang merupakan seorang tokoh konservatif dan berumur 60 tahun serta sekutu rapat Pemimpin Agung negara itu, Ayatollah Ali Khamenei akan memenangi pilihan raya tersebut.

Beliau akan menentang enam lagi calon lelaki lain.

Calon-calon itu ialah bekas Gabenor Bank Pusat Iran, Abdolnaser Hemmati; bekas Timbalan Menteri Luar Iran, Saeed Jalili; bekas komander pasukan Pengawal Revolusi Iran dan juga mantan calon Presiden pada tahun 2005, 2009 dan 2013 iaitu Mohsen Rezaei.

Tiga calon lain yang turut merebut jawatan itu ialah bekas ahli Parlimen dan doktor iaitu Alireza Zakani; Timbalan Speaker Parlimen Iran iaitu Amir-Hossein Ghazizadeh Hashemi serta bekas Gabenor Jeneral Khorasan, Mohsen Mehralizadeh.

Kombinasi gambar calon Presiden Iran (barisan atas dari kiri ke kanan), Amir-Hossein Ghazizadeh Hashemi, Embrahim Raisi, Mohsen Rezaei dan Mohsen Mehralizadeh manakala di barisan kedua dari kiri ke kanan ialah Abdolnaser Hemmati, Alireza Zakani dan Saeed Jalili. - Foto AFP
Kombinasi gambar calon Presiden Iran (barisan atas dari kiri ke kanan), Amir-Hossein Ghazizadeh Hashemi, Embrahim Raisi, Mohsen Rezaei dan Mohsen Mehralizadeh manakala di barisan kedua dari kiri ke kanan ialah Abdolnaser Hemmati, Alireza Zakani dan Saeed Jalili. - Foto AFP

Pusingan pertama pilihan raya itu akan diadakan pada 18 Jun ini dan jika tiada mana-mana calon memperoleh majoriti undi, dua calon yang mendapat undi terbanyak akan bertanding sekali lagi pada 25 Jun depan iaitu pusingan kedua pilihan raya tersebut.

Majlis Penjaga Iran dianggotai oleh 12 orang yang menentukan calon-calon akhir yang akan bertanding dalam pilihan raya Presiden tersebut.

Dua calon yang dijangka memberikan saingan sengit dalam pilihan raya Presiden tersebut iaitu bekas Speaker Parlimen, Ali Larijani dan Naib Presiden Iran ketika ini, Eshaq Jahangiri dilarang bertanding oleh majlis tersebut.

Majlis Penjaga Iran itu hanya memilih tujuh daripada 592 calon yang memohon untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden tersebut berbanding lapan dan enam calon masing-masing pada tahun 2013 dan 2017 bagi merebut jawatan tersebut sebelum ini.

Sebelum ini, Raisi pernah bertanding dalam pilihan raya Presiden pada tahun 2017 bagi menentang Presiden Iran yang sedang berkhidmat ketika ini,

Namun, dalam pilihan raya itu, beliau hanya memenangi 38 peratus undi.

Raisi dianggap calon yang paling berpengalaman dan menghabiskan banyak masanya dengan berkhidmat dalam bidang perundangan sejak tertubuhnya Revolusi Republik Islam Iran pada tahun 1979 dengan menjadi pendakwa raya di bandar Karaj.

Beliau juga dipercayai menjadi calon pilihan untuk menggantikan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khameni yang kini sudah berusia 82 tahun.

Khameni juga telah melantik Raisi sebagai ketua badan kehakiman pada Mac 2019 dan calon Presiden Iran itu pernah melancarkan kempen memerangi rasuah dan menjadikan Iran sebagai salah sebuah negara yang menjatuhkan hukuman mati terhadap pesalah-pesalah jenayah.

Gambar fail menunjukkan Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei (kiri) dan Presiden Iran, Hassan Rouhani. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei (kiri) dan Presiden Iran, Hassan Rouhani. - Foto AFP

Bagaimanapun, calon pilihan untuk menjadi Presiden Iran itu pernah dikaitkan dengan pelaksanaan hukuman mati ke atas sejumlah besar para pesalah Marxis dan golongan berhaluan kiri pada tahun 1988 ketika beliau berkhidmat sebagai timbalan pendakwa raya di Tehran.

Menurut AFP, beliau pernah menjadi pendakwa raya Tehran dari tahun 1989 hingga 1994, timbalan ketua Pihak Berkuasa Kehakiman selama sedekad iaitu dari tahun 2004 dan kemudian pendakwa raya Iran pada tahun 2014.

Calon pilihan Presiden Iran itu dilaporkan tidak mempunyai karisma tetapi beliau mempelajari ilmu teologi dan dan perundangan Islam daripada Khamenei.

Dalam pada itu, Majlis Penjaga Iran tidak lari daripada dikritik kerana menolak permohonan Larijani iaitu Speaker Parlimen daripada bertanding dalam pilihan raya Presiden Iran.

Adik Larijani, Sadegh yang berusia 60 tahun menuduh Majlis Penjaga Iran menolak permohonan abangnya itu kerana didakwa menerima maklumat palsu tentang saudara kandungnya tersebut daripada perkhidmatan perisikan Iran.

Khamenei juga mengkritik majlis tersebut dengan menyatakan bahawa beberapa calon yang memohon untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden tersebut telah ditolak dan diberikan layanan yang tidak sewajarnya.

Komen tersebut menimbulkan spekulasi bahawa ia bertujuan untuk meningkatkan peluang Raisi memenangi pilihan raya Presiden Iran. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!