Parlimen bersidang selewat-lewatnya Oktober: PM

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan sidang Parlimen akan diadakan antara bulan September dan Oktober ini dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira Malaysia pada ketika itu mencapai imuniti kelompok.

Katanya, pada tempoh itu Malaysia dijangka mencapai fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara apabila beberapa keadaan semasa di dalam negara, khususnya berkaitan pandemik Covid-19 menunjukkan perkembangan positif.

"Saya ingin memberikan komitmen bahawa Sidang Parlimen boleh diadakan dalam fasa ini (ketiga) iaitu sekitar bulan September atau Oktober dengan mengikut SOP yang ketat.

"Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes Covid-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok.

"Saya akan terus mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan," katanya ketika menyampaikan perutusan khas Pelan Pemulihan Negara yang disiar secara langsung melalui stesen televisyen tempatan pada Selasa.

Muhyiddin dalam masa sama turut mengingat semua pihak untuk tidak menimbulkan persepsi negatif dalam tempoh genting memerangi pandemik itu ketika ini.

"Jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 Jun lalu, kerajaan mengumumkan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pelaksanaan sidang Parlimen secara hibrid melibatkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan Parlimen dapat berperanan sebagaimana sewajarnya meskipun negara masih berdepan dengan pandemik Covid.

Parlimen tidak bersidang susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 11 Januari lalu memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelan Pemulihan Negara rangkumi empat fasa: PM