X

Kindly register in order to view this article
!

Wan Saiful tegur Najib tekun 'troll' individu dalam PN

Wan Saiful Wan Jan, Najib Tun Razak
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan menegur bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa begitu tekun 'troll' beberapa individu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Wan Saiful berkata, perbuatan 'troll' kerajaan sendiri seperti itu sebenarnya sesuatu yang pelik, namun berpandangan bahawa dalam strategi mengalih perhatian, perbuatan sedemikian memang perlu dibuat.

"Tambahan pula, sekarang Najib tak perlu ulang-alik ke mahkamah sebab ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bolehlah jadi 'ketua perungut kebangsaan' sepenuh masa.

"Strategi utama Najib ialah mengalih perhatian kepada isu lain supaya orang lupa apa yang telah dia buat. Banyakkan rungutan mengenai kerajaan sendiri supaya perhatian rakyat dapat dialihkan daripada berapa bilion yang telah dirompak.

"Tunjukkan diri sebagai hero UMNO supaya orang UMNO sendiri lupa bahawa parti itu kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebab orang marah Najib," katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau pada Isnin.

Wan Saiful berkata, apa yang menariknya ialah setiap kali beliau memberi komen mengenai Najib, maka beribu 'cybertroopers' yang memihak kepada Ahli Parlimen Pekan itu menyerang laman sosialnya itu.

"Ramai sungguh 'team' Najib Razak ini. Kalau isteri tersayang Datin Seri Rosmah Mansor dikatakan bayar RM100,000 sebulan untuk 'cybertroopers', agak-agak Najib bayar berapa juta sebulan ya?" soal beliau.

Wan Saiful turut melontarkan soalan kemungkinan Najib sudah bergabung dengan 'Red Bean Army (RBA)' sebagai jajaran baharu berikutan jumlah 'cybertroopers' menyokongnya yang ramai.

"Saya nampak sejak Najib bawa idea jajaran baharu ini, tahap aktiviti RBA dan 'team' Najib hampir sama hebat," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!