Warga emas positif Covid-19 larikan diri

Lelaki warga emas yang disahkan positif Covid-19 sedang dikesan selepas melarikan diri di Kampung Kuala Tongod, Kinabatangan.
Lelaki warga emas yang disahkan positif Covid-19 sedang dikesan selepas melarikan diri di Kampung Kuala Tongod, Kinabatangan.
A
A
A

KINABATANGAN - Seorang lelaki warga emas yang disahkan positif Covid-19 sedang dikesan selepas bertindak melarikan diri di Kampung Kuala Tongod, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, lelaki berusia 69 tahun itu yang sepatutnya perlu ke Hospital Sandakan untuk mendapatkan rawatan hilang selepas dimaklumkan positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, pasukan kesihatan dari Klinik Kesihatan Tongod datang ke kampung itu untuk memaklumkan persediaan kepada individu yang disahkan positif Covid-19 sebelum dibawa ke Hospital Sandakan.

"Pasukan itu kemudiannya telah pergi ke rumah lelaki terbabit yang sedang mengemas barang dengan anggapan suspek sedang bersiap sedia untuk dibawa ke hospital.

"Bagaimanapun, ketika pasukan itu kembali semula ke rumah suspek didapati rumah berkunci dan tidak berpenghuni. Pasukan itu pulang ke klinik dan menunggu suspek tetapi sehingga laporan polis dibuat, kedudukan suspek masih tidak diketahui," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, tindakan suspek dikhuatiri akan menyebabkan jangkitan pada orang awam sekiranya suspek terus melarikan diri.

"Usaha mengesan suspek yang melarikan diri sedang dijalankan oleh pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) / Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana keengganan seseorang yang dijangkiti untuk mematuhi apa-apa arahan, perintah atau kehendak yang diberikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dzulbaharin berkata, pihaknya akan melengkapkan siasatan dan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan dan nasihat lanjut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memberikan kerjasama dan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa agar sama-sama dapat membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

"Pihak polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat untuk disalurkan kepada Pusar Kawalan Daerah Kinabantangan di talian 089-561890," katanya.