X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda PH lapor polis kenyataan Takiyuddin

Pemuda PH menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah pada Isnin.
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis hari ini berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkenaan nasihat kabinet kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tentang kedudukan tempoh darurat.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pihaknya khuatir kenyataan tersebut sebagai salah satu cara menghasut orang ramai untuk bertindak pada Yang di-Pertuan Agong.

"Kami khuatir ini merupakan hasutan kepada rakyat untuk bertindak sekiranya Seri Paduka Baginda memutuskan sesuatu yang bertentangan atau tidak selari dengan kehendak kabinet yang dianggotai oleh Takiyuddin sendiri.

"Sekiranya wujud kecenderungan ke arah itu, ia merupakan kesalahan jelas di sisi undang-undang dan kami gesa agar Takiyuddin disiasat segera," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, kenyataan tersebut juga menyimpang daripada Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat (Kuasa Kuasa Perlu) 2021.

"Kami percaya bahawa kenyataan Takiyuddin itu telah menyimpang daripada Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat (Kuasa Kuasa Perlu) 2021 yang memperuntukkan hendaklah ditubuhkan suatu jawatankuasa bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar.

"Ia sekali gus mengancam keselamatan, kehidupan, ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit iaitu Covid-19," katanya.

Turut tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah ialah Ketua Pemuda Amanah Melaka, Muhammad Kamal serta Ahli Jawatankuasa Pemuda Pakatan Harapan, Haziq Norizan dan Shahrul Shahabudin.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan kenyataan Takiyuddin mengenai jemaah menteri bertanggungjawab untuk meneruskan peranannya menasihati Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kedudukan tempoh darurat: Kerajaan teruskan peranan nasihati Agong


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!