Kebaikan Parlimen hibrid

No Image Caption
A
A
A

SELEPAS rakyat dan ahli Parlimen lantang meminta Parlimen dibuka sejak proklamasi darurat, akhirnya kerajaan mempertimbangkan alternatif untuk meneruskan fungsi Parlimen.

Pada 4 Jun 2020, kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) menyatakan jemaah menteri sedang ‘mengkaji’ pelaksanaan Parlimen secara hibrid yang melibatkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam tempoh darurat dan pandemik.

Namun, cadangan untuk melaksanakan Parlimen hibrid ini dilihat agak lewat. Persoalannya, mengapa sekarang? Terdapat banyak usul Rang Undang-Undang (RUU), khususnya RUU Perbekalan Tambahan dan melibatkan perbelanjaan pandemik yang masih belum dibahaskan lagi. Malah, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) masih belum dibentangkan di Parlimen setelah ditangguhkan hampir setahun.

Hakikatnya, jika kerajaan PN menangguhkan sidang Parlimen lebih lama, meskipun melanjutkan tempoh darurat, ada kemungkinan urusan Belanjawan 2022 yang dijangka akan dibentangkan pada bulan Oktober ke atas akan terganggu oleh kerana perlu mendahulukan perkara di atas apabila Parlimen bersidang semula.

Sebab itu, Parlimen hibrid adalah pilihan untuk menyelesaikan kemelut ini. Tetapi, masih ramai tidak jelas apakah yang dimaksudkan dengan Parlimen hibrid dan sejauh manakah ia mampu dilaksanakan, memberi impak kepada tadbir urus negara.

Parlimen hibrid boleh ditakrifkan sebagai persidangan Parlimen yang membenarkan sebahagian ahli Parlimen hadir secara fizikal ke Parlimen dengan mematuhi langkah keselamatan seperti penjarakan fizikal antara tempat duduk di dalam dewan sidang. Manakala sebahagian ahli Parlimen yang lain bersidang secara maya dalam perbahasan dan pertanyaan kepada menteri.

Pendekatan ini telah digunakan oleh beberapa Parlimen di dunia seperti United Kingdom (UK) untuk memastikan peranan semak dan imbang Parlimen dapat diteruskan meskipun pandemik melanda.

Pelaksanaan Parlimen hibrid ini ada dua kebaikan. Pertama, ia dapat mengurangkan jumlah orang ramai yang hadir di Parlimen. Menurut Institute of Government, sebuah badan pemikir di UK, Parlimen secara hibrid dapat mengawal risiko penularan wabak di Parlimen, khususnya ahli Parlimen dan kakitangan Parlimen yang mempunyai risiko kesihatan kerana terdedah dengan kerja-kerja lapangan dan berjumpa orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Kedua, ahli Parlimen dapat meneruskan tugas mereka dalam menyemak dan meneliti tadbir urus kerajaan meskipun berada dalam pandemik. Mereka juga boleh menyumbangkan idea dan membangkitkan isu-isu rakyat yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

Namun, terdapat juga beberapa cabaran yang bakal dihadapi ketika melaksanakan Parlimen hibrid. Parlimen hibrid akan menghadkan ruang dan masa penyertaan buat ahli Parlimen, khususnya ketika perbahasan berkaitan pindaan Rang Undang-Undang (RUU).

Institute of Government yang memerhati pelaksanaan Parlimen hibrid di Parlimen UK mendapati ahli Parlimen tidak mempunyai waktu perbahasan yang cukup dan berkualiti, khususnya perbahasan atas talian kerana gangguan teknikal yang kerap berlaku.

Walau apa pun, Parlimen hibrid sebenarnya adalah jalan tengah yang membolehkan Parlimen berfungsi menyemak ketelusan kerajaan ketika kes jangkitan Covid-19 masih tidak menentu. Namun, harus ditekankan Parlimen hibrid ini hanyalah sementara dan persidangan Parlimen yang sebenar merupakan medan terbaik.

* Fakhrurrazi Rashid, Koordinator Penyelidik Research For Social Advancement (REFSA)