X

Kindly register in order to view this article
!

Pemandu teksi mohon bantuan 'one off', lanjut tempoh permit

Mohamad Farid (tengah) menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi dalam majlis penyerahan bantuan keperluan asas sumbangan Bersatu Bahagian Pasir Gudang kepada pemandu teksi di Hentian Teksi Pusat Bandar Pasir Gudang, Pasir Gudang pada Ahad.
A
A

PASIR GUDANG - Pemandu teksi memohon kerajaan pertimbangkan untuk memberi bantuan 'one off', melaksana moratorium dan melanjutkan tempoh permit berikutan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Yang Dipertua Persatuan Teksi Pasir Gudang, Abdul Rahman Arif berkata, permintaan itu wajar selepas pendapatan mereka terjejas hingga 80 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pemandu teksi berdepan pelbagai masalah. Terdapat lima atau enam teksi sudah kena tarik dan ada yang tidak mampu membayar sewa bulanan. Selain 10 pemandu teksi sudah berhenti dan menjadi pengawal keselamatan.

"Kita jangkakan keadaan lebih mencabar semasa PKP 3.0. Jadi permohonan kita untuk bantuan 'one off' adalah wajar kerana bantuan kerajaan Pusat dan kerajaan Johor menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 hanya diberikan kepada pemandu bas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penyerahan bantuan keperluan asas sumbangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pasir Gudang kepada pemandu teksi di Hentian Teksi Pusat Bandar Pasir Gudang di sini pada Ahad.

Penyerahan sumbangan barang keperluan asas itu disempurnakan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pasir Gudang, Mohamad Farid Abdul Razak.

Abdul Rahman berkata, moratorium kepada pemandu teksi diharap dapat diberikan untuk tempoh enam bulan sehingga hujung tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berharap Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dapat memanjangkan permit teksi dari 10 tahun ketika ini kepada 15 tahun.

Sementara itu, seorang pemandu teksi, Md Ali Hassan, 66, dari Taman Bukit Dahlia di sini mengakui tidak dapat membayar sewa teksi untuk bulan ini kerana pendapatannya merosot teruk.

Bapa kepada lapan anak itu yang sudah memandu teksi pada 1970-an berkata, sejak PKP 3.0 dia hanya memperoleh satu trip sehari dengan pendapatan tidak sampai RM6.

Muhamad Noh Yap Abdullah, 64, kadang-kadang pendapatan pemandu teksi yang diperoleh tidak setimpal dengan kos mereka kerana tidak mendapat penumpang dalam sehari.

"Saya pernah minta kerja sebagai pengawal keselamatan tetapi tidak diterima kerana sudah berusia," katanya yang mempunyai tujuh anak.

Harun Hassan, 60, dari Taman Rinting berharap, bantuan dapat diberikan kerana mereka tidak pernah mendapat bantuan daripada mana-mana pihak dan sumbangan Bersatu Pasir Gudang itu adalah yang pertama.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!