Peniaga, pekerja pasar borong mula terima vaksin minggu depan

Annuar turun meninjau pelaksaanTrak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah di Perumahan Awam Seri Johor pada Sabtu.
Annuar turun meninjau pelaksaanTrak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah di Perumahan Awam Seri Johor pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Golongan peniaga terutama pekerja pasar borong dan pasar harian di Wilayah Persekutuan akan menerima suntikan vaksin di bawah Program Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah minggu hadapan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan menumpukan golongan peniaga bagi program berikutnya.

Menurutnya, golongan peniaga antara yang terdedah kepada jangkitan Covid-19 kerana beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Walaupun pasar borong mencecah ratusan kes positif Covid-19 tetapi operasinya tidak boleh dihentikan kerana merupakan salah satu aktiviti yang perlu terus dibuka.

"Untuk itu pekerja di pasar borong disenaraikan dalam siri kedua program vaksinasi melalui trak bergerak yang akan pegi ke lokasi," katanya selepas meninjau pelaksanaan Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah di Perumahan Awam Seri Johor, pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan suntikan vaksin kepada gelandangan bagi fasa kedua dijangka turut dilaksanakan minggu hadapan.

"Golongan gelandangan untuk siri pertama telah selesai menerima suntikan dos pertama dan sedang menunggu suntikan dos kedua.

"Gelandangan bagi fasa kedua tidak dilakukan suntikan sebelum ini kerana perlu menjalani ujian saringan terlebih dahulu. Mereka perlu tunggu selama 14 hari sebelum buat ujian kali kedua, jika keputusan didapati negatif baru mereka akan ikuti program vaksin fasa kedua gelandangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, sekurang-kurangnya 30,000 hingga 33,000 individu akan menerima suntikan setiap hari bermula 15 Jun ini dalam usaha mencapai sasaran 80 peratus divaksin menjelang 31 Ogos.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega selain tambahan PPV di klinik dan hospital swasta serta trak bergerak.