X

Kindly register in order to view this article
!

MB digesa perincikan pelaburan RM43 bilion diterima Kedah

Ciapan Mukhriz berhubung pelaburan di Kedah.
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor diminta memperincikan pelaburan diterima bagi suku pertama tahun ini yang mencecah RM43 bilion seperti diumumkan pada Jumaat.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pengumuman oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersifat umum dan perlu disusuli pengumuman dari kerajaan negeri untuk memperincikan pelaburan yang diluluskan untuk Kedah.

Menurut beliau, rakyat Kedah juga pasti menantikan butiran pelaburan berkenaan kerana ia berkait rapat dengan sektor ekonomi setempat khususnya peluang pekerjaan susulan ramai hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

"Selepas MIDA keluarkan data pelaburan, kerajaan negeri yang perlu perincikan untuk pengetahuan umum, seperti senarai syarikat, sektor pembuatan, tempoh pelaburan, jumlah peluang pekerjaan ditawarkan serta lokasi kilang yang akan dibina," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun turut membuat ciapan di Twitter miliknya, dengan mengucapkan tahniah atas pencapaian Kedah itu.

Dalam ciapannya itu, menyebut, "Boleh official MIDA atau MB Kedah bagi tau apa dia RM42.4 bilion pelaburan suku pertama yang lulus untuk 2021 saja tu. Bukan apa saja nak tumpang bangga".

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, pihaknya turut berharap kerajaan negeri mengenakan syarat ketat kepada pelabur berkenaan seperti mengutamakan pekerja tempatan di semua peringkat, termasuk kontraktor dan pekerja binaan tempatan diberikan peluang mendirikan kilang pelabur terbabit.

Pada Jumaat, Muhammad Sanusi mengumumkan, Kedah mencatat rekod tertinggi nilai pelaburan diluluskan berjumlah RM43 bilion bagi suku pertama tahun ini, mengatasi beberapa negeri perindustrian utama lain.

Pencapaian itu dianggap menakjubkan kerana ia berlaku dalam suasana muram pelbagai sektor di seluruh dunia.

Sebelum itu, MIDA mengumumkan Malaysia meraih pelaburan diluluskan bernilai RM80.6 bilion bagi tempoh Januari hingga Mac 2021, meningkat 95.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak RM41.2 bilion.

Lima negeri tertinggi nilai pelaburan diluluskan adalah Kedah sebanyak RM43 bilion, Selangor (RM8.6 bilion), Sarawak (RM6.9 bilion), Sabah (RM5 bilion dan Kuala Lumpur (RM4.9 bilion).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!