X

Kindly register in order to view this article
!

Itali mula kempen kemenangan meyakinkan

Insigne meledak gol ketiga The Azzurri untuk kemenangan selesa 3-0 ke atas Turki pada aksi Kumpulan A Euro 2020 di Stadium Olimpico, Rom awal pagi tadi.
A
A

GERGASI Eropah, Itali memulakan kempen Euro 2020 langkah kanan apabila melakarkan kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Turki pada aksi Kumpulan A di Stadium Olimpico, Rom awal pagi ini.

Tampil dengan reputasi pasukan pilihan, The Azzurri kendalian Roberto Mancini bagaimanapun terpaksa menunggu hingga babak kedua untuk merobek gawang skuad barisan berbakat Turki dikemudi Senol Gunes.

The Azzurri membuka akaun gol mereka pada kempen kali ini bermula dengan hasil jaringan sendiri pemain pertahanan Turki, Merih Demiral pada minit ke-53.

Gol itu ternyata menyuntik semangat anak buah Mancini yang kemudiannya menambah dua lagi jaringan hasil sentuhan Ciro Immobile pada minit ke-66 dan Lorenzo Insigne pada minit ke-79.

Sementara itu, Mancini memuji persembahan bertenaga anak buahnya ketika membenam cabaran Turki.

Bagaimanapun, bekas tonggak Itali tersebut mengakui perjalanan gergasi dunia tersebut masih jauh untuk ke Wembley.

“Kami memberikan aksi terbaik, namun berdepan kesukaran menjaringkan gol pada babak pertama.

"Turki bukan lawan yang mudah kerana mereka juga merupakan pasukan memberikan saingan sengit tambahan pula ia aksi pembukaan," katanya.

Kemenangan itu juga meneruskan rekod cemerlang Itali yang belum tewas dalam 27 perlawanan sebelum ini sejak September 2018 - kemenangan terakhir 4-0 ke atas Republik Czech.

Tiga mata diperoleh The Azzurri, membolehkan mereka kini memimpin kumpulan yang turut dibarisi Wales dan Switzerland dengan tiga mata.

Wales dan Switzerland akan menyingkap tirai kejohanan berprestij negara Eropah ini apabila kedua-dua pasukan berentap di Stadium Olimpik, Baku pada malam ini.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!