Konsert sempena dua dekad Hijjaz Records

Barisan penyanyi nasyid yang membuat persembahan
A
A

BAGI mengubati kerinduan peminat muzik nasyid tanah air, satu konsert yang diberi nama Konsert Amal 4Nomena Alumni UIAM menampilkan artis yang pernah berada di bawah naungan label Hijjaz Records iaitu Hijjaz, Inteam, UNIC dan Mestica akan diadakan pada 20 April 2019, jam 8.30 malam di Dewan Utama, Pusat Kebudayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sebagai tanda penghargaan kepada sokongan peminat sejak lebih dua dekad tertubuhnya Hijjaz Records, tema ‘Terima Kasih’ diangkat sebagai simbolik kepada konsert penyatuan ini.

Menurut Pengarah KGM Event, Mahmud Fahrurrazey, meskipun kebelakangan ini muzik nasyid mungkin dilihat tidak lagi menguasai pasaran dan bergerak agak perlahan, namun tanggapan tersebut tidak tepat kerana genre nasyid masih lagi relevan dan bersifat malar segar sehingga kini kerana ia mempunyai kelompok besar peminatnya yang tersendiri.

“Justeru, dalam usaha mengembalikan nostalgia irama nasyid sekali gus mengubat kerinduan para peminat, pihak KGM Event dengan kerjasama Alumni UIAM selaku penganjur bersama cukup berbesar hati membawakan konsert penyatuan ini sebagai tanda penghargaan kepada sokongan peminat yang merupakan tulang belakang perjuangan muzik nasyid,” katanya.

Menyelusuri sejarah kegemilangan genre nasyid yang pernah mencetuskan satu fenomena luar biasa di kalangan penggemar muzik tanah air sekitar tahun 1990-an, Hijjaz merupakan antara pelopor terawal yang memperjuangkan lagu-lagu berunsur dakwah, kerohanian dan ketuhanan secara komersial.

Susulan perkembangan positif tersebut, tertubuhnya pula anak didik nasyid baharu yang bernaung di bawah syarikat Hijjaz Records.

"Kami berharap konsert penyatuan ini bakal berlangsung dalam suasana gemilang seperti yang dirancang sekali gus membekaskan impak yang mendalam. Jadi, jangan tunggu lagi.

"Dapatkan tiket segera dan datang beramai-ramai bersama sahabat handai dan seisi keluarga kerana para peminat bakal dijanjikan dengan pengalaman menonton yang mempesonakan," jelas Mahmud Fahrurrazey.

Penampilan istimewa

Konsert Amal 4Nomena Alumni UIAM ini meletakkan sasaran jualan sebanyak 3,000 tiket kepada badan-badan korporat, persatuan-persatuan dan orang ramai.

Sebahagian daripada hasil kutipan jualan tiket konsert ini bakal disalurkan kepada tabung bantuan untuk meringankan beban pelajar-pelajar UIAM yang kurang berkemampuan dan turut disumbangkan kepada dana sosial yang digerakkan oleh Kengkawan Project.

Konsert penyatuan ini juga bakal mendapat sentuhan barisan pemuzik berpengalaman tanah air iaitu ‘Along Exists & Friends’ yang bakal mengiringi persembahan secara ‘live’.

Kumpulan Hijjaz, Inteam, UNIC dan Mestica bakal mendendangkan lima buah hits masing-masing berserta beberapa kejutan untuk penonton.

Selain itu, terdapat juga persembahan istimewa daripada bekas anggota kumpulan nasyid tersebut yang kini aktif bergerak secara solo iaitu Fitri Haris (UNIC), Hafiz Hamidun (UNIC) dan Fadzli Aziz (UNIC).

Bagi merancakkan lagi penganjuran konsert ini, para penonton juga bakal disajikan dengan persembahan istimewa daripada juara pertandingan Maharaja Lawak Mega 2014 iaitu Kumpulan Zero yang tidak asing lagi di kalangan peminat hiburan komedi tanah air.

Turut dalam perancangan, terdapat juga penampilan istimewa artis-artis popular.

Tiket jualan konsert bermula dengan harga RM15 hingga RM60 sahaja. Khusus buat pembeli tiket VIP, mereka akan menerima pas istimewa Meet and Greet.

Untuk sebarang butiran lanjut, sila kunjungi akaun media sosial rasmi di Instagram dan Facebook @konsertamal4nomena


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia