Gabungan NGO, dewan perniagaan desak moratorium menyeluruh diberikan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan dewan perniagaan yang menaungi lebih satu juta perniagaan kecil dan sederhana di seluruh negara mendesak kerajaan memberikan rakyat moratorium pinjaman bank tanpa faedah.

Gabungan yang membentuk pasukan petugas 'Moratorium Untuk Rakyat' menggesa agar moratorium automatik secara menyeluruh diberikan dan ia dilanjutkan sehingga 31 Disember depan atau sehingga negara mencapai 80 peratus imuniti berkelompok.

Presiden Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Abdul Malik Abdullah berkata, gabungan itu sebelum ini telah menyerahkan sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang perkara itu.

Menurutnya, ia kerana moratorium yang diumumkan menerusi pakej rangsangan ekonomi Pemerkasa Tambahan tidak banyak membantu meringankan komitmen hutang rakyat dan komuniti perniagaan.

"Permohonan kami kepada kerajaan sangat jelas iaitu moratorium sifar faedah perlu diberikan kepada rakyat.

"Kami juga mencadangkan mekanisme yang boleh dilakukan kerajaan, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengubah moratorium agar ia memberi impak lebih berkesan dan lebih ramai golongan menerima manfaat bukan sahaja kepada golongan B40 tetapi M40 dan semua jenis perniagaan daripada entiti kecil, pertengahan dan lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Moratorium Untuk Rakyat yang diadakan secara maya pada Jumaat.

Selain FMBA, 13 lagi pertubuhan menganggotai pasukan berkenaan iaitu Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Industries Unite, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan Malaysian Association of Theme Parks and Family Attractions (MAATFA).

Artikel Berkaitan:

Turut serta, Malaysia Associated Indian Chambers Of Commerce and Indutry (MAICCI), Malaysia Retailers Association (MRA), Malaysian Tourism Council (MTC), National Union of Bank Employees (NUBE), Movement For Monetary Justice Malaysia (MMJ), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan SME Association of Malaysia (SME Malaysia).

Gerakan 'Moratorium Untuk Rakyat' turut disokong oleh 125 buah persatuan lain.

Mengulas lanjut, Abdul Malik berkata, moratorium secara menyeluruh itu diyakini dapat membantu seluruh rakyat Malaysia yang terjejas untuk mendepani kesan pandemik itu pada masa akan datang.

Beliau menegaskan, cadangan itu boleh dilaksanakan kerana kerajaan sebelum ini telah menyelamatkan sistem kewangan (termasuk bank) dengan peruntukan berjumlah RM70 bilion iaitu lebih dari 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2008 dan 2009.

"Penerima faedah utama adalah sistem perbankan yang dibebani dengan pembiayaan kredit yang tinggi dan terjejas. Jadi kami merasakan, dalam keadaan negara berada dalam krisis, bank harus membantu rakyat.

"Bank juga dilihat mampu berbuat demikian kerana dilaporkan lapan bank tempatan utama di negara ini memperoleh keuntungan sebanyak RM93 bilion dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini," katanya.

Kata beliau, moratorium menyeluruh pula dianggarkan hanya akan 'menelan belanja' RM6.4 bilion iaitu hanya tujuh peratus daripada keuntungan tahunan tiga tahun untuk lapan bank tempatan atau 20 peratus daripada keuntungan tahun 2020 mereka.

Dalam pada itu, Abdul Malik menegaskan, sekiranya cadangan mereka gagal mendapat perhatian, pasukan berkenaan akan mendapatkan bantuan pihak Istana Negara.

"Jika semua usaha gagal, kita akan pergi kepada pengguna agar mereka semua bersetuju untuk tidak membayar pinjaman bank selama tiga bulan," ujarnya.

Sementara itu, Presiden BRO, Datuk Ameer Ali Mydin menyeru agar seluruh rakyat Malaysia menyertai gerakan itu.

Katanya, sekiranya moratorium tidak diberikan secara menyeluruh ia bukan hanya menjejaskan sektor perniagaan malahan golongan pekerja.