Polis Sabah nafi ramai anggota, pegawai dijangkiti Covid-19

Hazani Ghazali
Hazani Ghazali
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menafikan khabar angin yang mendakwa ramai anggota serta pegawai polis di negeri ini dan Labuan dijangkiti Covid-19.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, setakat ini hanya 15 anggotanya yang didapati positif Covid-19.

"Itu hanya khabar angin, untuk Sabah termasuk Labuan ketika ini cuma 15 orang yang positif Covid-19. Tidak ramai pun berbanding selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) dulu, kita cecah lebih 100 orang positif.

"Sebelum ini, polis Sabah yang pernah dikuarantin disyaki positif Covid-19 hampir 1,000 orang. Itu tahun lalu, bukan tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada Khamis.

Ketika diminta mengulas berhubung pemberian vaksin dalam kalangan anggota dan pegawai polis, Hazani berkata, jumlah yang lengkap menerima vaksin ketika ini hampir 85 peratus.

"Setakat ini, polis Sabah sudah hampir 85 peratus iaitu melibatkan lebih 8,000 anggota yang sudah lengkap dua dos vaksin," katanya.

Mengulas berhubung lawatan Ketua Menteri, Hazani berkata, pihaknya turut memberi taklimat kepada Hajiji berhubung situasi kawalan keselamatan negeri ini semasa tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.

"Buat masa ini, Sabah dalam keadaan terkawal dan PDRM Sabah komited untuk meneruskan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Ketua Menteri juga berpuas hati dengan hasil kerja PDRM dan agensi lain dalam memastikan SOP dipatuhi," katanya.