MOTAC mohon percepat vaksinasi pekerja pelancongan di Langkawi

MOTAC bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam usaha merancakkan semula industri pelancongan yang terkesan oleh pandemik Covid-19. - Foto 123RF
MOTAC bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam usaha merancakkan semula industri pelancongan yang terkesan oleh pandemik Covid-19. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah memohon untuk mempercepat proses vaksinasi pekerja sektor dan subsektor industri pelancongan di Langkawi, Kedah yang dikenal pasti sebagai projek rintis 'green travel bubble’.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam usaha merancakkan semula industri pelancongan yang terkesan oleh pandemik Covid-19.

“Kita perlu pastikan mereka yang dalam sektor dan subsektor pelancongan ini perlu divaksinasi dahulu, kerana kalau mereka tidak divaksin bagaimana mereka nak melayan pelancong dan memberi keyakinan kepada pelancong,” katanya ketika ditemu bual dalam program Apa Kata Menteri terbitan SWA TV yang disiar secara langsung di laman Facebook MOTAC pada Khamis.

Beliau berkata, MOTAC bersedia menyediakan kemudahan infrastruktur bagi dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk Kompleks Kraf Langkawi.

Katanya MOTAC juga bersedia menghulurkan bantuan tenaga dan kewangan bagi mempercepat proses vaksinasi kepada 76,400 penduduk pulau peranginan itu dalam mewujudkan imuniti kelompok.

Nancy berkata, pulau peranginan itu dipilih sebagai projek rintis 'green travel bubble’ kerana dikenali di mata dunia sebagai pusat pelancongan utama negara ini, selain mempunyai kemudahan penerbangan antarabangsa yang boleh membawa masuk pelancong secara terus dari luar negara.

Menurutnya lokasi pelancongan terkenal itu mencatatkan kedatangan kira-kira 1.8 juta pelancong pada tahun lalu berbanding 3.9 juta pada tahun 2019. - Bernama

Artikel Berkaitan: