Presiden PFA mahu jumpa Tunku Ismail

Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie menyatakan hasrat bertemu Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi menjelaskan status sebenar Perlis.

Mengakui masih terkejut dengan keputusan MFL membatalkan penyertaan Perlis dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019, Amizal berkata pertemuan dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu dapat memberi sinar buat skuad Singa Utara untuk membuat kemunculan kembali dalam kempen Liga Premier musim ini.

Beliau berkata PFA sudah menyerahkan permohonan rasmi kepada MFL semalam. tetapi beliau berpendapat pertemuan dua mata tersebut adalah jalan terbaik bagi memberi gambaran sebenar selain berkongsi perancangan pasukan Perlis kepada baginda.

"Sejujurnya saya agak kecewa dengan keputusan itu (pembatalan penyertaan Perlis) kerana kita sebenarnya telah menyerahkan dokumen perancangan pasukan Perlis untuk Liga Premier musim ini kepada MFL.

"Perlis telah memberi komitmen tinggi biarpun ketika kami berdepan dengan pelbagai kemelut yang berlaku. Kami tidak buat seperti dilakukan Kuantan FA (tidak hadir pada perlawanan rasmi) yang turut dibatalkan penyertaan mereka daripada Liga Malaysia tahun lepas.

"Saya mahu bertemu dengan Tunku Ismail untuk menjelaskan perkara sebenar, yang mana saya kekal optimis Perlis masih memiliki keupayaan untuk meneruskan perjuangan dalam Liga Malaysia musim ini," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, MFL menerusi Anggota Lembaga Pengarah MFL sebulat suara bersetuju untuk membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Malaysia 2019 berkuat kuasa semalam selepas meneliti secara terperinci dokumen kewangan diserahkan PFA pada tarikh akhir, Isnin lalu.

PFA dan MFL sebelum ini, juga memeterai perjanjian bersama yang menyaksikan PFA diberikan tempoh 60 hari untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji sementara MFL menyekat geran tahunan mereka pada penghujung Disember tahun lepas. - Bernama