Selaraskan harga minyak masak di pasaran

Pemuda PN menggesa KPDNHEP menyelaraskan harga minyak masak di pasaran. - Foto Bernama (Gambar kecil: Khairil Nizam)
Pemuda PN menggesa KPDNHEP menyelaraskan harga minyak masak di pasaran. - Foto Bernama (Gambar kecil: Khairil Nizam)
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Perikatan Nasional (PN) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya menyelaraskan harga minyak masak di pasaran.

Ketua Pemuda PN, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, ia berikutan kenaikan harga minyak masak yang kini dilihat membebankan banyak sektor pengguna.

Tambah beliau, pihaknya turut mendapat maklum balas daripada pelbagai peringkat masyarakat dan telah turun padang untuk melihat serta menilai situasi tersebut.

“Hasil tinjuan kami, memang berlaku peningkatan harga minyak masak. Minggu lalu, harga minyak masak 5 kilogram (kg) adalah sekitar RM25 hingga RM28, namun minggu ini harganya mencecah RM32 hingga RM36,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Terkejut minyak masak mahal’

Mengulas lanjut, Khairil turut mengemukakan beberapa cadangan lain agar isu tersebut dapat diatasi segera.

Menurutnya, antara cadangan tersebut termasuklah memohon kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga selain menawarkan formula baharu untuk subsidi minyak masak 5 kg dan ke atas.

“Kerajaan juga perlu memperkenalkan subsidi bertempoh selama tiga ke enam bulan untuk minyak masak 5 kg selain menambah kuota pengeluaran minyak masak bersubsidi 1 kg dari 60,000 tan sebulan.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga menggesa KPDNHEP menjalankan operasi pemeriksaan anti pencatutan secara besar-besaran ke atas premis yang menyembunyikan minyak masak untuk menaikkan harga.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga perlu meningkatkan operasi mencegah penyeludupan minyak masak yang menyebabkan berlakunya ketirisan bekalan tempatan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut meminta kerajaan menstabilkan bekalan dalam negara dengan menyeimbangkan peratusan eksport dan keperluan bekalan minyak masak.

“Kerajaan perlu memikirkan solusi jangka panjang seperti pengurangan kos pembotolan yang dilihat menjadi antara penyumbang harga tinggi kepada bekalan minyak 5 kg ke atas.

“Alternatif kepada kaedah pembotolan minyak untuk kawal harga juga perlu difikirkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan membawa kesemua cadangan tersebut kepada kementerian berkaitan dalam kadar segera supaya isu kebajikan rakyat sentiasa menjadi teras utama fokus pentadbiran negara.