MDEC batal status Malaysia Digital NSO

KUALA LUMPUR - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengambil tindakan segera untuk membatalkan status Malaysia Digital terhadap NSO Malaysia Sdn Bhd yang mengendalikan Network School di Forest City, Iskandar Puteri, Johor.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, MDEC menyatakan tindakan itu dibuat susulan pihaknya mengambil maklum keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang membatalkan lesen perniagaan NSO.
ARTIKEL BERKAITAN: Network School didapati langgar syarat pelesenan
[VIDEO] 19 individu dikaitkan Network School masih gagal dikesan
Batal lesen, permit Network School jika langgar undang-undang - Tunku Mahkota Ismail
Network School tangguh pelaburan baharu di Malaysia, pengasas mohon jaminan kerajaan
Menurutnya syarat-syarat yang ditetapkan bagi status Malaysia Digital mewajibkan sesebuah syarikat memperoleh permit dan lesen yang berkaitan untuk menjalankan aktiviti yang diluluskan serta mematuhi semua peraturan selain syarat pelesenan yang berkuat kuasa.
"Pembatalan lesen perniagaan NSO merupakan suatu ketidakpatuhan terhadap syarat ini.
"Sehubungan itu, MDEC sedang mengambil tindakan segera untuk membatalkan status Malaysia Digital terhadap NSO," jelasnya.
Pada masa sama, MDEC mengalu-alukan pelaburan digital berkualiti ke Malaysia, namun pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang dan peraturan Malaysia tidak boleh dikompromi.
Terdahulu, MBIP mengenakan Notis Henti Niaga terhadap NSO berkuat kuasa Rabu susulan ketidakpatuhan terhadap syarat pelesenan dan penggunaan premis di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.
Sebelum ini, tular dalam media sosial berhubung dakwaan yang mengaitkan kewujudan Network School di Forest City dengan agenda Israel untuk bertapak secara senyap di negara ini menerusi pelaburan mata wang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
