Keputusan dari mesyuarat bukan bilik tidur

NORAZIZI
A
A

REMBAU - "Sesuatu yang tidak tepat apabila suami dan isteri nak jadi calon," kata AJK PKR Cabang Rembau, Norazizi A. Aziz.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan dikeluarkan oleh Ketua Cabang PKR Rembau, R Tanggam yang mendakwa bahawa Cabang Rembau menolak Dr Streram dan hanya menyerahkan nama beliau serta isterinya, K Bathmawaty sebagai calon untuk PRK DUN Rantau.

Katanya, kenyataan dan keputusan yang dibuat oleh Tanggam itu bukan hasil daripada mesyuarat yang dilakukan sebelum ini.

"Pada mesyuarat cabang yang pertama lalu, ada enam nama yang dipersetujui untuk dihantar ke peringkat negeri seterusnya dipertimbangkan di peringkat biro politik untuk menjadi calon PRK Rantau.

"Nama-nama yang dicadangkan adalah R Tanggam (Ketua Cabang), isterinya, Bathmawaty (Ketua Wanita), Dr Streram (Timbalan Ketua Cabang), Datuk Hanif Hasan (Naib Ketua Cabang), Saparin (AJK Cabang) dan Maznan (AJK Cabang)," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, nama-nama berkenaan telah dipersetujui dalam mesyuarat cabang bukan seperti yang didakwa oleh Tanggam baru-baru ini hanya nama beliau dan isterinya sahaja dihantar.

"Keputusan dibuat secara konsensus dan muafakat di dalam mesyuarat bukan di dalam bilik tidur," katanya.

Justeru itu, beliau menyelar tindakan Tanggam yang mendakwa hanya menghantar nama mereka, pasangan suami isteri sahaja ke pucuk pimpinan tanpa memaklumkan kepada AJK lain.

Dalam pada itu, Norazizi berkata, walaupun isu anak jati dibangkitkan dalam mesyuarat itu, namun mereka menekankan kriteria calon boleh menang untuk berdepan dengan pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Saya setuju dengan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin yang menyatakan calon kita adalah underdog.

"Jika Tok Mat dikalahkan, calon PH itu adalah Giant Killer," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pucuk pimpinan harus meneliti dan mengambil kira beberapa kriteria penting untuk menentukan calon di PRK Rantau ini agar ia sama-sama kuat dan berkaliber dengan pihak lawan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia