MAFI serah bantuan kepada 'frontliners' di MAEPS

Ahmad Hamzah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan bantuan MAFI kepada Dr Shahabuddin (dua dari kanan) di PKRC MAEPS Serdang pada Rabu.
Ahmad Hamzah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan bantuan MAFI kepada Dr Shahabuddin (dua dari kanan) di PKRC MAEPS Serdang pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyerahkan bantuan MAFI Prihatin kepada petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang pada Rabu.

Menurut satu kenyataan, bantuan MAFI Prihatin merupakan hasil sumbangan dan tanggungjawab sosial pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menyumbangkan produk makanan 'Agromas Ready To Eat'.

"Selain produk makanan, turut disampaikan ialah tajaan beras oleh pihak MARDI Corporation bertujuan untuk membantu meringankan beban petugas barisan hadapan yang terkesan dengan penularan Covid-19," menurut kenyataan tersebut pada Rabu.

Bantuan MAFI Prihatin itu disampaikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah kepada Pengarah PKRC MAEPS, Dr Shahabuddin Ibrahim.

Turut hadir dalam sesi penyerahan ialah Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS 2.0 diaktifkan semula pada 6 Disember 2020 berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 dan pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 yang kini beroperasi di sembilan buah dewan, boleh menampung sehingga 5,000 pesakit pada satu-satu masa dan merawat lebih 100,000 pesakit dalam masa enam bulan.

Pengurusan PKRC Bersepadu MAEPS melibatkan kolaboratif bersama 18 buah agensi diterajui bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (Nadma) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) dengan kekuatan anggota harian seramai 1,394 kakitangan.

Artikel Berkaitan: