99.5 peratus sekolah KPM di seluruh negara mempunyai liputan 4G - Fahmi

Fahmi menjawab soalan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, pada Khamis. Foto: Bernama
Fahmi menjawab soalan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, pada Khamis. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 10,207 daripada 10,259 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara mempunyai liputan rangkaian 4G, atau bersamaan 99.5 peratus kadar liputan, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, kerajaan komited memastikan sekolah, khususnya di luar bandar dan pedalaman, menikmati capaian Internet yang stabil dan berkualiti bagi menyokong agenda pendidikan digital negara.

"Kerajaan melalui MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) akan terus memantau dan memperkukuh penyediaan infrastruktur komunikasi bagi memastikan baki sekolah yang belum mendapat liputan turut diberi perhatian ke arah mencapai kesalinghubungan digital yang menyeluruh.

"Pelaksanaan JENDELA (Jalinan Digital Negara) Kumpulan 1 secara berperingkat mulai November ini melibatkan pembangunan 1,000 tapak di seluruh negara termasuk 12 tapak di Johor," katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengenai dasar kementerian bagi memastikan sekolah, khususnya di luar bandar, menikmati capaian Internet yang memenuhi Kualiti Perkhidmatan Minimum (MSQoS).

Fahmi berkata, pelaksanaan JENDELA Fasa 2 tidak dikhususkan kepada sekolah, sebaliknya memberi keutamaan kepada kawasan berpenduduk yang masih belum mendapat liputan komunikasi.

Mengenai projek Point of Presence (PoP), Fahmi berkata Fasa 1 melibatkan 677 lokasi telah siap sepenuhnya, termasuk 630 lokasi berhampiran sekolah, manakala Fasa 2 mencapai 99.07 peratus dengan 2,985 daripada 3,013 lokasi berhampiran sekolah telah siap setakat November ini.

Baki lokasi dijangka siap sepenuhnya pada 31 Disember ini.

Beliau berkata, projek PoP bernilai RM4.6 bilion itu menyediakan infrastruktur gentian optik kepada sekolah, premis kerajaan, kediaman dan komuniti setempat dalam radius 2.5 hingga tiga kilometer, dengan kelajuan sehingga 1Gbps.

Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi bertanggungjawab menyediakan infrastruktur komunikasi, manakala urusan perolehan dan langganan Internet di sekolah di bawah tanggungjawab KPM.

"Kami boleh menyediakan Internet sampai ke pagar sekolah, tapi dalam kawasan sekolah, terpulang kepada pihak sekolah dan KPM untuk memilih. Melalui inisiatif PoP ini, kami telah menyediakan Internet yang sangat berpatutan, 100Mbps pada harga serendah RM49 sebulan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Zaliha mengenai gangguan capaian apabila beberapa kelas menggunakan Internet serentak, Fahmi berkata, satu jawatankuasa bersama KPM dan MCMC telah ditubuhkan bagi menangani isu berkenaan.

"Kadang-kadang hanya disediakan satu atau dua titik capaian, tetapi mungkin yang diperlukan lebih daripada itu. Sekiranya ada sekolah yang memerlukan, boleh maklumkan dan Insya-Allah kita akan bantu," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abdul Kadir (PN-Setiu) mengenai tindakan terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan projek JENDELA Fasa 1, beliau berkata penalti dikenakan berdasarkan jumlah tapak yang gagal disiapkan.

Beliau memberi contoh sebuah syarikat di Sabah yang dikenakan denda melebihi RM200 juta, hampir menyamai nilai kontrak yang diterimanya.

Fahmi berkata, bagi JENDELA Fasa 2, MCMC turut memperketat syarat penggunaan subkontraktor dengan mewajibkan syarikat yang mendapat kontrak memaklumkan dan mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

"Mana-mana syarikat yang mendapat kontrak, sekiranya berhasrat menggunakan subkontraktor, MCMC mesti dimaklumkan dan diberikan kebenaran. Kalau tidak, kita tidak benarkan kerja itu berjalan," katanya.

Beliau berkata, kumpulan pertama JENDELA Fasa 2 melibatkan 1,000 menara dan lokasi di seluruh negara, manakala kumpulan kedua yang dijangka bermula tahun depan akan memberi tumpuan lebih besar kepada Sabah dan Sarawak. - Bernama

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!