X

Kindly register in order to view this article
!

Petugas media lega terima suntikan vaksin Covid-19 hari ini

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah (berdiri, tengah) bergambar bersama sebahagian pengamal media yang telah menerima vaksin pertama pada tinjauan pemberian Vaksin Covid-19 kepada petugas media di Dewan Seri Seroja hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Akhirnya kami disuntik! Kempen tanda pagar #CucukMyPress membuahkan hasil dengan kumpulan pertama pengamal media menerima dos pertama vaksin Covid-19 bermula hari ini.

Di sebalik risiko jangkitan, malah ada yang sudahpun dijangkiti virus maut itu, petugas media di negara ini cekal menjalankan tugas atas dasar tanggungjawab kepada semua pihak berkepentingan, khususnya masyarakat umum, dan pemvaksinan yang bermula hari ini memberikan keyakinan kepada mereka untuk terus berbakti.

Wartawan penyiaran TV3, Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin berkata, suntikan vaksin itu amat dinanti-nantikannya memandangkan tugasan harian menuntut beliau turun ke lapangan dan bertemu dengan masyarakat.

“Apa yang saya nak tekankan sebagai pengamal media yang bertugas sejak pandemik Covid-19 (bermula) dari Perintah Kawalan Pergerakan pertama hingga kini, kita tetap turun padang bertugas seperti biasa dan kita memang nanti-nantikan sangat untuk divaksin,” katanya.

Menurut Pengerusi Kelab Media Putrajaya itu, pemvaksinan ke atas petugas media juga dapat membantu pembentukan imuniti kelompok, khususnya dalam industri media sendiri, memandangkan mereka perlu bertemu rakan setugas dan orang ramai hampir setiap hari.

“Kalau seorang sudah divaksin dan seorang lagi tidak divaksin, bagaimana pula? Jadi adalah penting untuk semua petugas media divaksin dengan segera,” katanya, menambah seramai 23 petugas daripada 10 agensi media di Putrajaya menerima dos pertama mereka hari ini.

“Sebanyak empat sesi diadakan bagi penerimaan suntikan vaksin ini iaitu 9 pagi, 10 pagi, 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari... saya dapat vaksin Pfizer-BioNTech pada 12 tengah hari tadi,” tambahnya.

Wartawan Sinar Harian, Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan pula berkata, meskipun baru menerima dos pertama vaksin Sinovac, beliau tetap berasa lega.

“Setiap hari kita keluar berjumpa dengan orang ramai dan terdedah kepada risiko jangkitan, tetapi demi tugas saya perlu keluar bekerja dengan mengamalkan penjarakan fizikal, membasuh tangan, menggunakan dua keping pelitup muka dan sentiasa menggunakan cecair pembasmi kuman,” katanya dan menambah proses vaksinasi hari ini agak cepat dan sangat sistematik.

Pengarang Eksekutif (cetak) Sinar Harian, Azmi Tarmizi merupakan salah seorang daripada 98 petugas media pelbagai agensi yang mula mendapat suntikan vaksin Covid-19 bagi dos pertama, hari ini.
Pengarang Eksekutif (cetak) Sinar Harian, Azmi Tarmizi merupakan salah seorang daripada 98 petugas media pelbagai agensi yang mula mendapat suntikan vaksin Covid-19 bagi dos pertama, hari ini.

Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Abdul Rahman Ahmad yang merupakan antara penerima terawal, berterima kasih kepada kerajaan kerana mendengar rintihan kumpulan itu yang sebenarnya merupakan sebahagian daripada petugas barisan hadapan.

Malah tegasnya, pemvaksinan ke atas semua warga media harus disegerakan.

“Ini kerana ada juga dalam kalangan jurugambar dan wartawan yang sudahpun dijangkiti virus itu ketika bertugas. Vaksin perlu diberikan pada kadar segera termasuk petugas media di negeri-negeri yang juga harus diberikan keutamaan,” kata beliau yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech pada 9 pagi tadi di Dewan Seri Seroja, Putrajaya.

Sementara itu di Perak, Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, pemberian vaksin kepada petugas media di negeri tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat, bergantung pada dasar yang ditetapkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Pada Selasa, Persatuan Pengamal Media Perak menggesa kerajaan negeri menyegerakan pemberian vaksin kepada petugas media demi menjamin keselamatan mereka memandangkan petugas media di negeri itu serta beberapa negeri lain masih belum menerima pemberitahuan janji temu vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera.

Selain itu, petugas media di Perak juga telah beberapa kali terpaksa menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat kes positif, termasuk pada 3 Mei lalu apabila seramai 22 petugas media daripada pelbagai agensi terpaksa menjalani kuarantin setelah dikesan menjadi kontak rapat pesakit yang disahkan positif Covid-19. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!