Sistem radar 24 jam perketat sempadan negara

Hamzah (dua dari kanan) diberi beri penerangan tentang SWASLA ketika melawat pusat operasi ACC di Pelabuhan Klang pada Selasa.
Hamzah (dua dari kanan) diberi beri penerangan tentang SWASLA ketika melawat pusat operasi ACC di Pelabuhan Klang pada Selasa.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menaik taraf Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kos lebih RM100 juta untuk terus memperketatkan kawalan sempadan negara demi memerangi penularan Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, projek naik taraf itu dijangka siap dan boleh digunakan dalam tempoh sebulan atau dua bulan dari sekarang.

Katanya, SWASLA merupakan sistem rangkaian radar 24 jam untuk mengawasi dan mengesan pergerakan bot atau kapal yang mencurigakan di perairan negara.

"Rancangan (naik taraf) SWASLA telah bermula tiga tahun lepas dan akhirnya kerajaan telah bersetuju untuk memberikan peruntukan untuk kita menambah atau menaik taraf SWASLA.

"Peruntukannya agak besar melebihi RM100 juta dan Insya-ALLAH (perinciannya) kita akan umumkan tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pengawasan Laut (ACC) di Pelabuhan Klang untuk meninjau pengoperasian Maritim Malaysia pada Selasa.

Mengulas lanjut, Hamzah memberitahu, lawatan beliau itu juga untuk memastikan segala kekuatan dan aset-aset strategik milik Maritim Malaysia berada dalam keadaan yang baik termasuk SWASLA.

Menurutnya, SWASLA juga adalah satu set sistem merangkumi gabungan integrasi pelbagai komponen sistem, meliputi sistem radar, mekanikal, elektrikal dan elektronik serta peranti seperti kamera optronik dan sensor untuk menjana maklumat yang berkesan secara 24 jam sehari sepanjang tahun.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, komponen penting bagi SWASLA ialah menara radar atau Remote Sensor Site (RSS) yang terletak di 11 lokasi di perairan Selat Melaka dan tiga lokasi di Pantai Barat Sabah.

Beliau menjelaskan, antara strategi utama kerajaan dalam memerangi Covid-19 adalah dengan memastikan tiada kemasukan warga asing secara haram ke dalam negara yang boleh membawa jangkitan wabak itu kepada rakyat Malaysia.

"Oleh yang demikian, selain menutup pintu-pintu masuk sempadan udara dan darat, kawalan sempadan perairan negara telah diperkasakan bagi menghalang sebarang pencerobohan daripada warga asing melalui titik-titik pendaratan yang telah dikenal pasti.

"Kerajaan melaksanakan operasi bersepadu Op Benteng di bawah kendalian National Task Force (NTF) dan Maritim Malaysia adalah salah satu agensi peneraju dalam memastikan keberkesanan kawalan sempadan perairan negara," katanya.

Menurutnya, selepas setahun Op Benteng Laut dilaksanakan bermula Mei 2020 sehingga Mei tahun ini, sebanyak 19,196 pengesanan melalui sistem radar SWASLA direkodkan.

Semua kontak curiga yang dikesan akan disalurkan terus kepada aset di laut untuk melakukan pemintasan.

Hamzah menambah, daripada jumlah itu, sebanyak 443 pergerakan dikesan mencurigakan dan sebanyak 372 kontak telah berjaya diambil tindakan melalui pemeriksaan, penahanan, pengusiran, amaran dan komunikasi.

Ujar beliau, hasil daripada itu, sebanyak 40 tangkapan dan pendakwaan telah dilakukan.

Sementara itu, Hamzah menegaskan, dalam operasi bersepadu di bawah entiti National Task Force (NTF) menerusi Op Benteng Laut, SWASLA juga berperanan dalam mengkoordinasi maklumat serta taktikal bersama agensi lain terutamanya di dalam memberi arah pandu kepada aset laut dan udara menuju sasaran lokasi yang tepat.

"Bagi tujuan itu, sebanyak 15 bot pemintas Maritim di sektor Op Benteng Laut (Semenanjung Malaysia) telah diaturgerakkan dalam keadaan siap siaga selama 24 jam di tujuh buah kapal induk atau kapal ronda setiap hari.

"Operasi Op Benteng ini juga disertai 12 buah bot dan 10 buah kapal dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), 22 buah bot Pasukan Polis Marin (PPM) yang bertindak 'standby' di jeti beserta lima buah kapal dan turut disertai lima buah bot dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam melaksanakan operasi secara bersepadu," katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, bagi aset di Sabah dan Sarawak sebanyak 18 buah bot Maritim Malaysia, 27 buah bot PPM dan 10 buah bot yang terlibat dalam Op Benteng Timur.

Katanya, keadaan itu menunjukkan SWASLA berperanan besar dalam mengesan dan membendung kemasukan bot dan kapal yang melakukan jenayah termasuk penyeludupan dadah dan manusia, terutamanya pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam tempoh penguatkuasaan Sekatan Pergerakan Penuh.