Tiada pelancong, tiada pendapatan

Pendapatan penarik beca di Pulau Pinang merudum selepas pelaksanaan PKP. Gambar kecil: Abdul Latiff
Pendapatan penarik beca di Pulau Pinang merudum selepas pelaksanaan PKP. Gambar kecil: Abdul Latiff
A
A
A

GEORGETOWN - “Nak dapat RM1 pun susah.” Itu keluhan salah seorang penarik beca, Bakri Abdullah, 68, mengenai pendapatannya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bakri berkata, dia juga terpaksa bermalam di dalam beca dan mandi di tandas awam kerana tidak mampu untuk membayar sewa bilik.

Menurutnya, pendapatan yang tidak menentu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP 1.0) pada Mac tahun lalu.

Katanya, keadaan bertambah buruk selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP 2.0 di enam negeri termasuk Pulau Pinang pada 13 Januari lalu.

Dia hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada kerajaan Pulau Pinang dan beberapa sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk kelangsungan hidup.

“Sejak PKP bermula tahun lalu, pendapatan kami sebagai penarik beca merudum teruk. Siapa yang nak naik beca melainkan pelancong? Orang tempatan tak mahu naik.

“Saya dan beberapa rakan lain terpaksa tinggal di dalam beca kerana tak dapat bayar sewa bilik. Mandi pun di tandas awam. Memang perit kehidupan kami.

“Walaupun ada bantuan, namun pendapatan harian saya ‘hilang terus’.

Artikel Berkaitan:

“Kami hanya bergantung dengan pelancong, apabila PKP, tidak dibenarkan merentas negeri (negara), memang tiada pendapatan,” katanya ketika ditemui di Jalan Masjid Kapitan Keling di sini.

Seorang lagi penarik beca, Manan Talib, 67, berkata, dia tetap menunggu pelanggan di sekitar bandar ini setiap hari dengan harapan ada yang akan menggunakan khidmatnya untuk bergerak di sekitar pusat bandar.

“Sejak Covid-19 melanda kami ada menerima bantuan daripada pelbagai pihak, namun kami tetap berharap dapat mengayuh beca semula tidak lama lagi kerana pekerjaan ini sudah sebati dengan kami.

“Wang bantuan memang tak cukup tetapi nak buat macam mana? Hidup perlu diteruskan. Saya berdoa agar Covid-19 ini cepat reda dan PKP ditamatkan. Oleh itu kami, penarik beca boleh bekerja seperti biasa,” katanya.

Abdul Latiff menunjukkan wang yang diterimanya daripada kerajaan negeri.
Abdul Latiff menunjukkan wang yang diterimanya daripada kerajaan negeri.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang, Abdul Latiff Mohd berkata, pelaksanaan PKP 2.0 bermula Januari lalu dan kemudian diteruskan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah mematahkan semangat penarik beca untuk mencari rezeki.

“Boleh dikatakan hampir semua daripada kami hilang punca pendapatan dan kami patah semangat kerana terlalu lama tidak dapat mencari rezeki.

“Ini kerana, disebabkan PKP dan PKPB, tiada pelancong yang datang ke sini, maka kami memang hilang punca pendapatan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, penarik beca juga ada menerima bantuan daripada kerajaan negeri yang disalurkan melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang bernilai RM500 (one-off) pada Julai tahun lalu dan elaun bulanan RM100.

“Jumlah berkenaan masih tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka yang terputus punca pendapatan. Sehari nak dapat RM10 pun susah. Walaupun ada elaun bulanan, tetapi masih tidak cukup.

“Pelancong asing sudah setahun tidak dapat masuk (ke negara ini). Kami berharap tidak lama lagi orang ramai dari negeri lain akan dibenarkan melancong kerana hanya itu yang dapat membantu kami mencari pendapatan harian,” katanya.

Bantuan

Dalam pada itu, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin ketika dihubungi berkata, pihaknya bersama Penang Chinese Chamber of Commerce mengambil inisiatif dalam menyalurkan bantuan kepada kira-kira 140 penarik beca yang terkesan pada Mei lalu.

Menurutnya, bantuan yang disalurkan adalah wang tunai berjumlah RM200, baucar pembelian RM200. sekotak topeng muka dan sebotol cecair pembasmi kuman (hand sanitizer).

Soon Hin (kiri) menyampaikan bantuan kepada penarik beca di Komtar.
Soon Hin (kiri) menyampaikan bantuan kepada penarik beca di Komtar.

“Sejak PKP yang pertama, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM152,100 di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang melalui beberapa fasa kepada penarik beca di negeri ini.

“Selain itu, setiap penarik beca juga akan menerima RM100 setiap sebulan daripada kerajaan negeri. Pejabat saya juga selalu bekerjasama dengan pelbagai organisasi dan pihak swasta untuk membantu mereka ini.

“Ia termasuk memesan makanan dari hotel untuk diberikan kepada penarik beca. Langkah ini juga dapat membantu pengusaha hotel dalam menjana sumber pendapatan alternatif hotel,” katanya.