X

Kindly register in order to view this article
!

Agong tunjang negara depani tri-krisis

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.
A
A

ISNIN pertama bulan Jun setiap tahun tercatat sebagai tarikh penting dalam kalendar negara apabila diisytiharkan sebagai ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Al-Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi menggantikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada 31 Januari 2019.

ARTIKEL BERKAITAN:PM sembah tahniah sempena Hari Keputeraan Agong

Tempoh dua tahun lima bulan pemerintahan Seri Paduka Baginda sebagai ketua negara sehingga kini pastinya diingati sebagai tempoh ujian tri-krisis paling getir negara membabitkan aspek politik, ekonomi dan kesihatan rakyat.

Bagaimanapun, pengalaman luas Al-Sultan Abdullah menjadi Pemangku Raja Pahang seawal usia 20 tahun, bahkan memikul tugas sebagai Tengku Mahkota Pahang selama hampir 44 tahun mempersiapkan Seri Paduka Baginda sebagai ‘payung rakyat jelata’ yang adil lagi saksama.

ARTIKEL BERKAITAN: Ingat dibantu polis, rupanya Yang di-Pertuan Agong

Bagi penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi Mara, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz, beliau berpandangan rakyat Malaysia sememangnya bersyukur kerana dikurniakan seorang raja yang sinonim dengan ‘DNA’ berjiwa rakyat dan bijaksana dalam menentukan hala tuju masa hadapan negara.

Jelas beliau, terdapat beberapa siri peristiwa politik negara sejak dua tahun lalu yang boleh dianggap sebagai precedent case bagi pentadbiran negara seperti keputusan kerajaan menarik balik perjanjian ratifikasi Statut Rom, pertukaran kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) dan proklamasi darurat.

Namun, Al-Sultan Abdullah dilihat begitu tenang dalam menyelesaikan siri konflik berkenaan menerusi kebijaksanaan Tuanku menterjemahkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam konteks permasalahatan umum.

“Cabaran pertama Seri Paduka Baginda adalah sewaktu mendepani krisis negara berkaitan ratifikasi perjanjian Statut Rom pada April tahun 2019 apabila Tuanku berjaya menunjukkan keupayaan memberi satu sudut pandang berbeza untuk diterima pentadbiran kerajaan yang ketika itu sudah pun menandatangani ratifikasi berkenaan.

Al-Sultan Abdullah mencemar duli melihat dengan lebih dekat frontliners bertugas yang menjadi barisan depan melawan Covid-19.
Al-Sultan Abdullah mencemar duli melihat dengan lebih dekat frontliners bertugas yang menjadi barisan depan melawan Covid-19.

“Sebenarnya bukan mudah untuk kerajaan mengubah keputusan menarik balik ratifikasi Perjanjian Status Rom walaupun rakyat melihat keputusan itu memberi kesan kepada kedaulatan negara.

“Di situ, Seri Paduka Baginda berjaya menonjolkan peranan sebagai ketua negara apabila berupaya mengendurkan keputusan kerajaan tanpa mewujudkan pertelingkahan antara institusi diraja dan institusi pentadbiran negara,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Selain itu, Shamrahayu turut mengambil contoh ketenangan Al-Sultan Abdullah dalam menyelesaikan isu pertukaran kerajaan daripada PH kepada PN pada 24 Februari tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bangga berkhidmat untuk Agong berjiwa rakyat

Ujarnya, konflik ketidakstabilan politik negara akibat kejatuhan kerajaan PH ketika itu sebenarnya mendedahkan cabaran kepada Seri Paduka Baginda untuk mentaksir dan menterjemahkan bidang kuasa Tuanku sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sewaktu menyelesaikan konflik itu, kita dapat lihat bagaimana Seri Paduka Baginda memastikan peristiwa pertukaran kerajaan berlaku dalam suasana aman dan teratur,” katanya.

Pandangan Shamrahayu turut dipersetujui pakar sejarah daripada Universiti Malaya, Profesor Emeritus Datuk Abdullah Zakaria yang menganggap keupayaan Al-Sultan Abdullah menterjemahkan perincian peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak lari daripada bidang kuasa Tuanku sebagai satu aspek keperibadian unggul.

“Sewaktu peristiwa pembentukan kerajaan PN, Tuanku tidak takut mengemukakan penyelesaian melantik Perdana Menteri interim dan memanggil kesemua 222 ahli Parlimen bagi mendapatkan keyakinan memilih calon Perdana Menteri yang benar-benar mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Secara tersurat, peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak meletakkan perincian bagaimana pelaksanaannya dibuat, namun Tuanku secara bijaksana memutuskannya tanpa mengenepikan peranan permuafakatan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri dalam satu lawatan kerja ke Indonesia pada tahun 2019.
Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri dalam satu lawatan kerja ke Indonesia pada tahun 2019.

Sementara itu, Abdullah berpandangan langkah Al-Sultan Abdullah memperkenankan proklamasi darurat juga merupakan satu cabaran kepada Tuanku dalam menangani pandemik Covid-19 dan mengekalkan kestabilan dalam pentadbiran negara.

Bahkan, keputusan Seri Paduka Baginda untuk kembali membenarkan sidang Parlimen diadakan dalam tempoh darurat membuktikan sifat keterbukaan Tuanku dalam mendengar suara hati rakyat di samping tidak menyebelahi mana-mana parti politik.

Bagi Shamrahayu dan Abdullah, pada saat negara berdepan cabaran besar mendepani pandemik Covid-19, konflik ketidakstabilan politik serta kemelut ekonomi, mereka berpendapat rakyat bertuah menerima pengurniaan seorang Agong yang cakna, bijaksana dan penuh sifat empati.

Dirgahayu Seri Paduka Baginda.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga Istana Negara sembah tahniah sempena Hari Keputeraan Agong


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!