X

Kindly register in order to view this article
!

PM sembah tahniah sempena Hari Keputeraan Agong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - Foto BERNAMA
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili seluruh rakyat Malaysia merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda pada Isnin.

Berkongsi ucapan di Facebook, Muhyiddin berkata, beliau dan seluruh rakyat turut mendoakan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta kaum kerabat Seri Paduka Baginda berdua.

“Patik sekalian mendoakan semoga ALLAH SWT terus menganugerahkan KDYMM Tuanku kekuatan dan keberkatan untuk terus kekal bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan,” katanya.

Muhyiddin juga berkata, beliau dan seluruh rakyat jelata juga berdoa mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Berdua serta semua putera, puteri dan seluruh Kerabat Diraja sentiasa berada dalam lingkungan dan rahmat Allah, dilanjutkan usia zaman serta berada dalam keadaan sihat walafiat selama-lamanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan menangguhkan semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi ke satu tarikh yang lain setelah mengambil kira faktor keselamatan, kesihatan dan demi melindungi nyawa rakyat ekoran pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, perdana menteri turut menyentuh mengenai pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang sedang dilaksanakan kerajaan kini bagi melandaikan lengkung jangkitan Covid-19.

“InsyaAllah dengan segala usaha yang sedang dijalankan kerajaan dalam melawan pandemik COVID-19 ini, akan memperoleh kejayaan jua atas limpah perkenan dan naungan KDYMM Tuanku. Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku. Menjunjung kasih Tuanku,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!