RM15 juta bukan dana kerajaan: Najib

Najib -Foto Bernama
Najib -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menepis dakwaan berhubung pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta kepada peguam yang juga Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, wang bernilai RM15 juta itu merupakan bayaran untuk 'kerja selama beberapa tahun' kepada sebuah syarikat yang ditubuhkan bekas penasihat medianya, Paul Stadlen.

Beliau pada masa sama, turut menegaskan bahawa tiada dana kerajaan digunakan bagi tujuan berkenaan.

"Syarikat Paul mahukan jaminan dana maka dana untuk tempoh perjanjian tertentu didepositkan melalui Mohd Hafarizam ke dalam akaun amanah firma guamannya. Kemudian, digunakan Mohd Hafarizam membayar kepada syarikat Paul.

"Atas sebab itu, Mohd Hafarizam dan Paul didakwa dengan jumlah sama sebanyak RM15 juta kerana ia adalah dana yang sama. Selain itu, saya juga tidak membayar Mohd Hafarizam RM15 juta tetapi, menyimpannya dalam akaun amanah firma guamannya," katanya memetik laporan Malaysiakini.

Najib memberitahu, beliau juga akan membuktikan di mahkamah bahawa sumber wang RM15 juta itu adalah sah.

Terdahulu, hari ini Mohd Hafarizam didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM15 juta daripada Najib yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman peguam itu.

Mohd Hafarizam, 47, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, waran tangkap terhadap Paul pula telah diserahkan Polis Antarabangsa (Interpol) dan usaha mengesannya giat dijalankan.

Difahamkan, Paul melarikan diri dari Malaysia selepas kekalahan Najib pada PRU14.