ADUN sumbang elaun RM42,000 bantu penduduk PKPD

Aznel (kiri) bersama petugas di Pusat Khidmat DUN Pengkalan Hulu sedang menyediakan pek keperluan makanan untuk penduduk di kawasan PKPD yang akan diagihkan pada Isnin.
Aznel (kiri) bersama petugas di Pusat Khidmat DUN Pengkalan Hulu sedang menyediakan pek keperluan makanan untuk penduduk di kawasan PKPD yang akan diagihkan pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim mengumumkan untuk menyumbang semua elaun sebagai wakil rakyat selama tiga bulan berjumlah RM42,000 bagi membantu rakyat di kawasan yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau berkata, sebanyak empat lokasi di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Hulu yang kini diletakkan di bawah PKPD iaitu Kampung Air Panas, Kampung Kual Luar, Kampung Alai dan Kampung Baru Kampung Lalang.

Menurut Aznel, sebanyak 840 pek keperluan asas seperti beras, tepung, gula dan sebagainya disediakan untuk diagihkan kepada penduduk terjejas bagi memastikan mereka tidak terputus bekalan makanan.

"Inisiatif ini saya lakukan sendiri kerana kerana memikirkan kebanyakan penduduk di kawasan PKPD itu merupakan petani dan penoreh getah yang bekerja harian. Apabila mereka tidak keluar mencari rezeki, bekalan makanan akan terputus.

"Jadi saya buat keputusan untuk sumbang elaun saya untuk pastikan penduduk di situ terus kekal berada di rumah sepanjang tempoh PKPD ini supaya penularan Covid-19 dapat diputuskan segera," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Aznel berkata, semua penyerahan bantuan keperluan makanan itu akan diserahkan pada Isnin dengan bantuan agensi berkaitan.

Tambahnya, usaha itu dilakukan sebagai tindakan awal sementara menunggu peruntukan daripada kerajaan negeri seperti diumumkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Aznel turut menasihatkan penduduk supaya terus kekal di rumah masing-masing bagi mengawal Covid-19 dari terus merebak selain mengelak mereka dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengumumkan perkara tersebut menerusi akuan Facebooknya pada Ahad.

Sementara itu, ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih juga turut mengumumkan sumbangan elaun sebagai wakil rakyat selama tiga bulan untuk digunakan bagi membantu golongan memerlukan di kawasan beliau dalam tempoh pandemik Covid-19.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menyedari terdapat ramai keluarga berpendapatan rendah di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pokok Assam yang memerlukan bantuan membeli keperluan harian.

Katanya, peruntukan daripada sumbangan itu akan digunakan bagi membeli keperluan asas seperti beras, tepung, gula dan sebagainya untuk diberikan kepada yang layak sekaligus mengurangkan beban ditanggung ketua keluarga.